31 Mei 2024, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Multimedia, Jabatan Penerbitan, DBP telah menerbitkan 10 judul gamifikasi interaktif yang dibangunkan dengan menggabungkan pelbagai elemen multimedia seperti kesan audio dan visual sebagai bahan bantu proses pembelajaran anak-anak sama ada di sekolah atau di rumah.

Gamifikasi tersebut telah dilancarkan oleh penyanyi tanah air, iaitu Encik Muhammad Naim Daniel Baharin bersama-sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pagi tadi.

Gamifikasi interaktif yang diterbitkan merupakan pendekatan didik hibur yang menggunakan kaedah permainan bagi mewujudkan suasana yang lebih menarik, interaktif serta menghiburkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Elemen tersebut diadun dengan pelbagai kesan khas bagi memberikan keterujaan kepada kanak-kanak dan secara tidak langsung berupaya menarik mereka untuk belajar sambil bermain.

Encik Muhammad Naim Daniel Baharin semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Gamifikasi Interaktif DBP di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Usaha DBP dalam menghasilkan bahan sokongan pendidikan yang berwibawa dan autentik adalah selari dengan perkembangan teknologi terkini,” kata Encik Muhammad Naim Daniel Baharin ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Menurut beliau, melalui aktiviti permainan tersebut, kanak-kanak bukan sahaja bermain tetapi turut memperoleh ilmu selain dapat mengasah kemahiran menyelesaikan masalah yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan.

Selebriti berkenaan turut memuji dan menyokong usaha tersebut kerana penggunaan bahasa Melayu dapat dimartabatkan dan diperkukuh dengan lebih berkesan, terutamanya dalam bentuk digital.

Memetik ucapan beliau,

Saya ingin menyarankan agar DBP dapat melakukan lebih banyak kajian mengenai gamifikasi interaktif dalam bidang pendidikan yang lain supaya dapat diperluas untuk disesuaikan dengan perubahan corak dunia pendidikan digital.

Ulas beliau, penerbitan gamifikasi interaktif berkenaan bersesuaian dengan transformasi teknologi maklumat pada masa ini yang dapat membuka lembaran baharu kepada pembangunan kandungan, khususnya dalam bahasa Melayu untuk meneroka pasaran industri aplikasi interaktif ke seluruh dunia.

Projek gamifikasi interaktif DBP dibangunkan dengan menggunakan beberapa watak yang terdapat dalam beberapa buah buku kanak-kanak terbitan DBP yang terpilih, sekali gus membuktikan bahawa DBP komited mempelbagaikan produk terbitan dalam bahasa Melayu untuk disajikan kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak.

Judul gamifikasi interaktif yang diterbitkan oleh DBP ialah Kenali Haiwan, Apakah Benda Ini?, Ayuh Kenal Nombor, Istana Batang Aiskrim, Kembara Tumu, Saya Sayang Badan Saya, Pantun Gigi, Tiga Gembala Perkasa, Peribahasa dan Ditelan Hutan Nulu. Semua judul gamifikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (tiga dari kiri) bersama-sama Encik Muhammad Naim Daniel Baharin (dua dari kiri) semasa Majlis Pelancaran Gamifikasi Interaktif DBP dan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa (kiri); Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Multimedia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud (dua dari kanan) dan Ketua Bahagian Mutimedia DBP, Puan Naimah Yusof (kanan).

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Multimedia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Ketua Bahagian Mutimedia DBP, Puan Naimah Yusof.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.