28 Mei 2024, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Intervensi awal merupakan permulaan bagi sesuatu rawatan untuk menstabilkan pesakit kritikal sebelum melakukan penilaian yang lebih terperinci.

Hal tersebut dijelaskan oleh Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis, YBrs. Dr. Muhamad Fakhurrazi Mohamad Bakri ketika ditemu bual mengenai fungsi jabatan kecemasan dan trauma di hospital secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis, YBrs. Dr. Muhamad Fakhurrazi Mohamad Bakri ketika ditemu bual mengenai fungsi jabatan kecemasan dan trauma di hospital secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Menurut beliau, proses penilaian pesakit biasanya menggunakan sistem kod warna yang bertujuan memberikan keutamaan kepada sesuatu rawatan serta bergantung pada tanda vital bagi menentukan tahap penjagaan dan rawatan yang sesuai diberikan kepada pesakit.

Jelas beliau, penilaian awal rawatan perubatan kecemasan dan stabilisasi pesakit bermula apabila pesakit tiba di hospital dan penilaian segera akan dilakukan untuk menentukan penjagaan pesakit yang sewajarnya.

Intervensi segera merupakan tindakan menyelamatkan pesakit dari segi pengurusan saluran pernafasan dan kawalan pendarahan, manakala tindakan stabilisasi merujuk menstabilkan tanda penting dan mengurus pesakit untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.

Dalam sesi temu bual itu, beliau menyatakan bahawa rawatan menstabilkan pesakit kritikal di jabatan kecemasan dan trauma diberikan oleh doktor pakar yang berpengalaman bersama-sama doktor, paramedik, jururawat dan pasukan multidisiplin.

Beliau juga berkongsikan bahawa penilaian triaj (triage) merupakan penjagaan pesakit berdasarkan tahap kesakitan yang paling diutamakan di hospital, manakala penilaian perubatan melibatkan penilaian menyeluruh oleh kakitangan perubatan dan rawatan selanjutnya adalah berdasarkan keputusan yang menunjukkan sama ada pesakit perlu dimasukkan ke wad, dibenarkan pulang ataupun dihantar ke hospital tertiari.

Proses kemasukan pesakit ke hospital diuruskan secara berkesan berdasarkan keperluan perubatan yang sesuai dan kemudahan katil pesakit, manakala proses discaj pula melibatkan pengambilan ubat dan sesi janji temu bersama-sama doktor untuk rawatan yang selanjutnya.

Jabatan kecemasan dan trauma di hospital bukan sahaja berfungsi sebagai pusat krisis sehenti yang memberikan perlindungan kepada mangsa penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga, malah berperanan sebagai koordinasi pengurusan bencana untuk mengurus bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, termasuklah bencana buatan manusia seperti letupan, kebocoran kimia dan radiasi.

Beliau juga menyatakan bahawa jabatan ini turut berfungsi sebagai perkhidmatan prahospital yang menyediakan talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999, pusat panggilan kecemasan berpusat, pasukan bantuan ambulans paramedik dan menyediakan pendidikan perubatan kepada kakitangan hospital dan orang awam.

Pada sesi akhir perbincangan, beliau menekankan bahawa kini jabatan kecemasan dan trauma di hospital menghadapi pelbagai cabaran termasuklah dibanjiri populasi warga emas, pengaruh media sosial yang memaparkan teknologi maklumat tanpa batasan, budaya ahli keluarga yang gemar merakam video dan menyebarkan foto pesakit sehingga mengganggu privasi pesakit serta menghadapi cabaran dalam penggunaan teleperubatan dan kecerdasan buatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.