28 Mei 2024, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharudin

Kuala Lumpur – Buku Seni Kimia: Apakah Jirim? dan The Art of Chemistry: What Is Matter? ditulis bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dan menanam minat kanak-kanak dalam bidang sains, terutamanya kimia.

Demikian menurut Puan Salina Mohd Hamdan ketika membicarakan karya beliau tersebut di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) petang tadi.

“Pendekatan menggunakan tujuh watak kartun yang menggambarkan simbol sains dalam buku ini bertujuan untuk menarik minat pembaca, khususnya kanak-kanak.

“Hal ini akan membantu membina asas yang kukuh untuk pembelajaran sains pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Buku Seni Kimia: Apakah Jirim? dan The Art of Chemistry: What Is Matter? menggunakan pendekatan watak kartun untuk menarik kanak-kanak meminati sains, terutamanya kimia.

Puan Salina yang juga pernah bertugas sebagai pegawai pemakanan berkata, idea untuk menulis buku ini tercetus apabila beliau bersama-sama anak-anaknya yang masih kecil sering menonton siri kartun berunsur sains.

“Dari situ tercetus idea untuk menjadikan kimia sebagai sesuatu yang hidup sehinggakan saya terfikir alangkah seronoknya jika atom-atom tersebut boleh bercakap,” katanya ketika ditanya oleh moderator, Puan Filzah Ibrahim.

Tambah beliau, buku ini boleh digunakan untuk meningkatkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam sistem pendidikan negara.

“Buku ini sangat menarik kerana disertakan dengan aktiviti untuk dilakukan oleh kanak-kanak.

“Oleh itu, kanak-kanak akan terdedah kepada ilmu kimia pada usia muda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapan alu-aluannya berkata, pembelajaran sains dan teknologi khususnya kepada generasi baharu, selain dapat memperluas pengetahuan, juga mampu menerapkan nilai murni seperti menghargai alam sekitar dan mensyukuri nikmat Tuhan.

Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Sekiranya pengetahuan ini diterapkan dalam diri anak-anak, pastinya akan lahir individu yang cemerlang dari segi sahsiah, ilmu dan akhlak,” katanya.

Beliau berharap agar penerbitan buku ini akan menjadikan anak-anak lebih peka dan cinta akan ilmu sains, terutamanya kimia.

Buku Seni Kimia: Apakah Jirim? dan The Art of Chemistry: What Is Matter? ini merupakan kesinambungan daripada buku Seni Kimia: Udara di Sekeliling Kita dan The Art of Chemistry: Gases Around Me.

Buku ini boleh diperoleh di reruai DBP bersempena dengan PBAKL 2024 yang berlangsung dari 24 Mei hingga 2 Jun 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.