24 Mei 2024, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Kursus Pendidikan Pascasiswazah Ke-18 mengenai Perlindungan Sinaran dan Keselamatan Sumber Sinaran atau 18th Post Graduate Educational Course on Radiation Protection and Safety of Radiation Sources anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Kerajaan Malaysia melalui Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) memperkukuh pelaksanaan piawaian keselamatan antarabangsa melalui pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan sinaran.

Perlindungan sinaran merupakan aspek penting dalam pelbagai industri termasuklah perubatan, tenaga dan penyelidikan, yakni penggunaan bahan radioaktif dan sumber sinaran memerlukan pengawalan ketat untuk mengelakkan risiko kepada kesihatan manusia dan kerosakan alam sekitar.

“Usaha kolaboratif ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada negara masing-masing, malah menyumbang kepada keselamatan nuklear pada peringkat global,” kata Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ketika merasmikan kursus berkenaan di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi, Selangor.

Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim.

Beliau berkata, Malaysia telah diiktiraf oleh IAEA sebagai pusat latihan serantau dan pusat kerjasama IAEA dalam bidang pemprosesan radiasi, ujian tanpa musnah termaju dan pembiakan mutasi tumbuhan.

Sejak tahun 2000, Malaysia telah berjaya melatih 972 orang peserta antarabangsa di seluruh dunia dalam pelbagai program yang dianjurkan.

Sebagai rekod, Malaysia telah menandatangani practical arrangement (PA) pada 27 September 2022 di Vienna, Austria bersama-sama IAEA untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan bagi bidang radiasi, pengangkutan dan keselamatan sisa radioaktif, sekali gus menjadikan Nuklear Malaysia sebagai pusat latihan serantau bagi rantau Asia Pasifik.

Nuklear Malaysia amat mengalu-alukan jaringan kerjasama strategik bersama-sama negara anggota IAEA bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di rantau Asia Pasifik.

Sesi penyerahan cenderamata oleh Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin (kanan) kepada Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim (kiri).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, barisan pengurusan atasan Nuklear Malaysia serta wakil kedutaan negara peserta yang terlibat dalam program berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.