Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah mengadakan Majlis Pelancaran Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa Ketujuh 2025 atau The 7th International Innovation, Design and Articulation 2025 (i-IDeA 2025) di UiTM Cawangan Perlis, hari ini.
Majlis pelancaran bersempena dengan penganjuran i-IDeA 2025 yang akan berlangsung pada 13 Mei 2025 hingga 15 Mei 2025 itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), YBrs. Dr. Noriman Rojulai mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.
“Tahniah diucapkan kepada UiTM Cawangan Perlis atas penganjuran program yang menyokong elemen sains, teknologi, kejurutereaan dan matematik (STEM) serta merentas bidang yang penting dalam melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi bagi menyelesaikan pelbagai masalah kompleks melalui pengetahuan dalam bidang komunikasi, kerjasama berpasukan, kreativiti dan pemikiran kritikal,” kata YBrs. Dr. Noriman Rojulai.
Tambah beliau, penganjuran i-IDeA 2025 mampu menjadi platform penting untuk mengetengahkan produk penyelidikan dan mempromosikan budaya penyelidikan serta inovasi dalam kalangan para pelajar sekolah hingga peringkat profesional.
Penganjuran i-IDeA 2025 juga boleh membantu mewujudkan kerjasama pengkomersialan antara peserta dengan pihak agensi kerajaan dengan pemain industri.
Beliau percaya bahawa program tersebut dijangka akan menarik pelbagai lapisan peserta ke Perlis, sekali gus menjana pendapatan pelbagai perniagaan di seluruh negeri ini.
Penganjuran i-IDeA 2025 merupakan program peringkat antarabangsa yang menampilkan 17 acara daripada tiga kategori utama, iaitu kategori inovasi, konferensi antarabangsa dan pertandingan serta pameran.
Program yang bertemakan “Empowering Research, Innovation Idea and Entrepreneurship Towards Sustainable Economy” dan telah mencapai siri ketujuh ini dilihat dapat menyemarakkan semangat inovasi dalam kalangan warga kampus dan masyarakat seiring dengan hasrat Kerajaan Madani.
Tujuan utama i-IDeA 2025 dianjurkan adalah untuk mempamerkan dan mempertandingkan produk reka cipta berasaskan elemen idea kreativiti dan inovasi yang dihasilkan oleh ahli akademik dan bukan akademik, penyelidik, pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta sekolah menengah di seluruh Malaysia.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Rektor, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim dan Pengerusi Bersama i-IDeA 2025, YBrs. Profesor Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak.