23 Mei 2024, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Faizuddin Center of Education Excellence (FCoEE) bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta beberapa agensi kerajaan yang berkaitan dengan bidang teknologi telah menganjurkan bengkel pengenalan tentang teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Majlis Pelancaran Kelab AiREd (Ai and Robotic Education).

Sebanyak 160 orang pelajar dari lapan buah sekolah terpilih di sekitar Perlis, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, SMK Derma, SMK Agama (SMKA) Perempuan Kangar, SMKA Arau, SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SMK Syed Sirajuddin, SMK Tengku Suleiman dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah telah mengikuti program tersebut.

“Program ini merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh FCoEE bagi mendukung hasrat negara untuk melahirkan generasi muda yang fasih digital,” kata Pengerusi FCoEE, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Kelab AiREd ditubuhkan sebagai suatu inisiatif untuk memberikan pendedahan awal kepada para pelajar sekolah, khususnya di Perlis agar mereka lebih bersedia dengan asas ilmu dan kemahiran dalam menghadapi kepesatan teknologi AI.

Antara reruai pameran yang disediakan sepanjang program berlangsung.

Kelab AiREd ialah satu daripada pendekatan pendidikan yang telah dirancang oleh FCoEE dengan rakan strategiknya untuk menambah baik kualiti pendidikan dan tahap penguasaan pelajar terhadap teknologi AI, sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta robotik.

Sepanjang bengkel AI itu berlangsung, sebanyak 24 orang tenaga pengajar dari UniMAP dan Institut Visual Informatik (IVI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah terlibat dalam sesi bengkel berkenaan.

Sesi permulaan bengkel dimulakan dengan taklimat pengenalan tentang AI yang disampaikan oleh Pengarah Institut Visual Informatik, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir, diikuti dengan sesi perbincangan oleh Pensyarah Kanan UniMAP, YBrs. Dr. Muhammad Hisyam Rosle dan diakhiri dengan sesi perkongsian oleh Ketua Produk Pandai Education Sdn. Bhd., Puan Raja Nazatul Akhma yang berkongsikan pendidikan secara maya yang ditawarkan oleh pihaknya.

Pada sebelah petang, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenan mencemar duli menghadiri dan menyempurnakan Kelab AiREd, sekali gus mengurniakan watikah kepada wakil tenaga pengajar AiREd.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Kelab AiREd.

DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis kemudiannya turut berkenan menyantuni dan melawat reruai beberapa agensi yang diundang untuk memeriahkan majlis berkenaan.

Sesi perkongsian oleh wakil DBP kepada DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis mengenai aplikasi digital interaktif, gamifikasi dan teknologi realiti terimbuh di reruai pameran DBP.

Dalam majlis yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menyertai pameran dan berkongsikan aplikasi digital interaktif, gamifikasi dan teknologi realiti terimbuh yang terkandung dalam penerbitan buku teks terbitannya.

Reruai pameran DBP yang menyediakan maklumat berkaitan dengan aplikasi digital interaktif, gamifikasi dan teknologi realiti terimbuh.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.