Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCheras – Program Sambutan Hari Hipertensi dan Minggu Kesedaran Garam Sedunia Bersama-sama Komuniti anjuran Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah disertai oleh barisan pensyarah dan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan wakil dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Program yang berlangsung di Kampung Malaysia Raya (KAMARA), Cheras itu diwakili oleh pelajar dari Persatuan Pelajar Sains Pemakanan dan Dietetik (NUDSA), UKM dan pelajar tahun tiga dari Jabatan Teknologi Makanan, UPM.


Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik, diikuti dengan sesi pameran garam dan hipertensi, saringan kesihatan, salt hunt, pertandingan memasak menu sihat, demonstrasi masakan kurang garam, uji rasa kicap kurang garam, pertandingan mewarna kanak-kanak, bicara saku (pocket talk) dan kuiz.

Semasa program berlangsung, pameran statik yang dipamerkan merangkumi pameran yang memaparkan kandungan jumlah garam dalam produk makanan terproses, pinggan suku-suku separuh dan peralatan dapur untuk memberikan gambaran sebenar jumlah garam dalam satu sudu teh, sudu besar dan sudu makan.

Bagi aktiviti uji rasa kicap kurang garam pula, pengunjung diberikan peluang untuk merasa beberapa jenis sampel kicap masin, iaitu dua formulasi kicap masin kurang garam dan komersial, kemudian mereka diminta untuk menilai perbezaan antara rasa kicap masin kurang garam dengan kicap komersial yang terdapat dalam pasaran.
“Tujuan uji rasa ini diadakan adalah untuk melihat penerimaan pengunjung terhadap kicap masin kurang garam yang dihasilkan daripada penyelidikan yang dijalankan oleh pihak UKM, UPM, MARDI dan KKM,” kata YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar selaku ketua projek penyelidikan tersebut.


Program kesihatan itu juga dimeriahkan dengan aktiviti bicara saku yang disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak, YBrs. Dr. Nurzeiti Yuslinda Yusof yang berkongsikan hal garam dan kaitannya dengan hipertensi.

Selain itu, Ahli Dietetik, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Puan Jazlina Shahrul juga berkesempatan berkongsikan diet yang sesuai untuk pesakit hipertensi, manakala Penyelidik UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Hasnah Haron menyampaikan hasil kajiannya mengenai kandungan natrium dalam makanan jalanan di Malaysia semasa program tersebut berlangsung.


Untuk menguji pengetahuan para pengunjung, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, YBrs. Dr. Khairul Hafidz Alkhar Khairul Amin yang mengendalikan aktiviti bicara saku itu mengajukan beberapa soalan kuiz dan para pemenang diberikan hadiah menarik.

Pada masa yang sama, demonstrasi masakan rendah garam seperti sandwich telur kurang garam dan overnight oatmeal telah dijalankan oleh ahli dietetik, Puan Rosmaniza Abdul Samad, di samping lima kumpulan lain terlibat dalam pertandingan memasak secara sihat.
“Demonstrasi ini memberikan pendedahan kepada komuniti KAMARA mengenai hidangan kurang garam yang mudah disediakan,” ujar Puan Rosmaniza Abdul Samad.


Sementara itu, aktiviti yang menguji fizikal dan minda para peserta yang dikenali sebagai salt hunt merupakan satu aktiviti riadah bermaklumat yang dijalankan secara berkumpulan.
Dalam aktiviti tersebut, para peserta perlu mencari bahan bukti sambil menjawab 10 soalan yang berkaitan dengan garam dan hipertensi yang diletakkan di sekitar lokasi kampung dan peserta harus merujuk petunjuk yang diberikan untuk mendapatkan soalan berikutnya hingga semua soalan berjaya ditemukan dan dijawab dengan betul.


Pada akhir program, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, YBhg. Datin Dr. Haliza Abdul Manaf berkesempatan melawat tapak pameran dan turut mengikuti sesi uji rasa kicap kurang garam.
