Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dua inovasi yang dihasilkan oleh beberapa orang pegawai penyelidik dari Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berjaya memenangi pingat emas dalam 35th International Invention, Innovation, Technology Competition and Exhibition, Malaysia (ITEX’24) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
ITEX’24 yang dirasmikan oleh Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang itu mempamerkan pameran dan pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa yang disertai oleh hampir 700 inovasi yang melibatkan 15 buah negara dan sebanyak 80 peratus daripada inovasi yang dipamerkan telah bersedia untuk dikomersialkan.
“Kemenangan para penyelidik Nuklear Malaysia dan rakan kolaborasi ini amat membanggakan kami dan membuktikan bahawa Nuklear Malaysia sentiasa proaktif dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear yang dapat dimanfaatkan oleh pihak industri ataupun rakyat, khususnya di Malaysia, selaras dengan slogan Dasar Teknologi Nuklear Negara, “Nuklear untuk Rakyat”,” kata Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan.
Beliau berkata, penyertaan Nuklear Malaysia dalam pertandingan dan pameran sebegini menjadi satu platform untuk penyebaran maklumat mengenai sains dan teknologi nuklear kepada orang awam dalam pelbagai bidang.
HyBGC, satu daripada inovasi yang memenangi pingat emas dalam ITEX’24 merupakan hasil penyelidikan oleh Puan Ruzalina Baharin dan YBrs. Dr. Norzita Yacob dengan kolaborasi YBrs. Profesor Madya Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor dan Puan Siti Fatimah Samsurrijal dari USM.

HyBGC ialah produk di bawah klasifikasi perubatan dan kesihatan yang menggunakan sama ada sinaran gama atau alur elektron.
Sinaran yang dipancarkan ke atas HyBGC memberikan dwikesan teknologi sinaran, iaitu kesan taut silang dan pensterilan yang sangat penting dalam penghasilan produk perubatan untuk penyembuhan luka dengan lebih cepat dan penghasilan semula tisu lembut yang efektif.
Sementara itu, AMoRA, sebuah robot (UGV) yang berupaya menghasilkan peta radiasi sesebuah kawasan dan memenangi pingat emas kedua dalam ITEX’24 pula merupakan hasil inovasi oleh YBrs. Dr. Nur Aira Abd. Rahman dan kumpulan penyelidikannya dengan kolaborasi penyelidik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Selain dapat menggambarkan taburan radiasi dengan tepat dan komprehensif serta meliputi keseluruhan perimeter sesuatu kawasan, peta radiasi AMoRA juga boleh dimanfaatkan untuk merancang aktiviti kerja dengan selamat dan efisien.
