15 April 2024, 20:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataannya berkata, keputusan ini selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui ASEAN Power Grid.

Urusan perdagangan tenaga merentas sempadan menerusi platform ENEGEM akan dilaksanakan berpandukan Guide for Cross-Border Electricity Sales (CBES) terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

PETRA turut mempelawa pihak yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses bidaan pembelian bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk disalurkan ke sistem bekalan elektrik Singapura menerusi platform ENEGEM.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt dengan menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dengan Singapura.

Antara inti pati pelaksanaan proses bidaan bagi pembelian bekalan elektrik hijau di bawah projek rintis ini ialah skim perintis tersebut adalah terbuka kepada pembida tenaga boleh baharu (TBB) yang mempunyai lesen penjanaan dan/atau lesen peruncitan bekalan elektrik untuk pasaran Singapura.

Selain itu, pembida TBB yang berminat perlu berdaftar dengan single buyer untuk menyertai proses bidaan yang dilaksanakan.

Menurut PETRA, pembida TBB yang memohon untuk didaftarkan akan dinilai menerusi proses prakelayakan dan mereka yang berjaya akan mendapat notifikasi untuk melakukan bidaan pembelian bekalan elektrik hijau pada hari bidaan.

Katanya lagi, pembida yang berjaya akan menandatangani Perjanjian Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu (RE Supply Agreement) dengan single buyer untuk urus niaga bekalan elektrik hijau yang telah berjaya dibida.

Pembida TBB yang berminat boleh mendaftarkan hasrat penyertaan melalui laman sesawang PETRA atau single buyer mulai 16 April 2024.

PETRA yakin bahawa pelaksanaan bidaan melalui platform ENEGEM membolehkan Malaysia memperkukuh kerangka kerja pembekalan elektrik merentas sempadan, di samping membuka peluang pembangunan serta usaha sama bidang TBB yang lebih luas melalui perdagangan TBB merentas sempadan antara negara ASEAN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.