5 April 2024, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak tiga orang pelajar Program Terapi Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menerima penajaan biasiswa daripada Pacific Speech Therapy and Learning Centre Sdn. Bhd. berjumlah RM42,000.00.

Menurut Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Penajaan Biasiswa itu, permintaan untuk perkhidmatan terapi cara kerja (OT) di negara ini sememangnya wujud dan sentiasa berkembang.

Petunjuk Kesihatan 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa bilangan individu yang berkerjaya dalam OT di sektor awam di negara ini adalah sebanyak 1442 orang, manakala nisbah OT kepada penduduk Malaysia dianggarkan kepada 1:22,676 orang.

Tambah beliau, angka tersebut jelas menunjukkan bahawa kerjaya OT masih berada pada tahap yang kritikal dari segi tenaga dan kepakaran untuk menampung keperluan perkhidmatan kesihatan masyarakat.

Melihat akan potensi pasaran kerjaya OT yang mempunyai masa hadapan yang cerah, UKM telah mengorak langkah dengan menjadi perintis kepada program Ijazah Sarjana Muda Terapi Cara Kerja secara sepenuh masa yang pertama di Malaysia.

Ujar beliau, pengambilan pertama pelajar Program Terapi Cara Kerja bermula pada sesi 2004/2005 dan mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Akreditasi Negara (LAN) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus membolehkan program ini terus melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa oleh World Occupational Therapy Federation.

Beliau turut mengesyorkan supaya jaringan kerjasama ini dapat diperkembang, terutamanya dalam aspek penyelidikan dan mempelbagaikan perkongsian kepakaran klinikal agar dapat dimanfaatkan oleh para pelajar.

Saya melihat Pacific Speech Therapy and Learning Centre Sdn. Bhd. menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak berkeperluan khas yang melibatkan multidisiplin seperti terapi cara kerja, terapi pertuturan dan psikologi klinikal yang mempunyai potensi untuk penyelidikan bersama-sama penyelidik FSK yang banyak melakukan kajian berkaitan dengan populasi ini.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan keterlibatan industri dalam pendidikan universiti adalah penting bagi mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar.

Penawaran biasiswa ini dilihat memberikan sokongan kewangan kepada pelajar serta menawarkan peluang pekerjaan yang terjamin kepada bakal graduan yang terpilih.

Sesi penyerahan cenderamata oleh Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar (kiri) kepada Pengarah Pacific Speech Therapy and Learning Centre Sdn. Bhd. (kanan).

Turut hadir ialah wakil tertinggi ahli akademik peringkat fakulti, ahli program dan ahli jawatankuasa Majlis Penyampaian Penajaan Biasiswa tersebut.

Sesi bergambar bersama-sama semua peneraju utama dan ahli jawatankuasa Majlis Penyampaian Penajaan Biasiswa anjuran FSK, UKM dengan kerjasama Pacific Speech Therapy and Learning Centre Sdn. Bhd.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.