Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan meneruskan penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) 2024 pada tahun ini dengan sasaran memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
MOSTI dalam kenyataannya berkata, penganjuran MSN ini juga sebagai satu daripada usaha untuk membina bakat berkemahiran tinggi bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
“Pelaksanaan MSN adalah selari dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan agenda Malaysia Madani, iaitu bidang STEM diberikan tumpuan untuk mencipta bakat seiring dengan kepesatan pembangunan sains, teknologi dan inovasi dan seterusnya memenuhi keperluan industri, khususnya dalam sektor teknologi membangun seperti kecerdasan buatan, Internet benda, robotik, blok rantai (blockchain) dan data raya,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam kenyataan tersebut.
MOSTI juga menyatakan bahawa objektif utama penganjuran MSN adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian, sekali gus menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar yang memilih jurusan STEM.
MSN 2024 telah dilancarkan semalam secara dalam talian dan akan berlangsung di seluruh negara secara hibrid melibatkan penganjuran karnival dan aktiviti dalam talian hingga Oktober 2024.
Bertemakan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, MSN yang dianjurkan pada tahun ini mensasarkan pelibatan sebanyak 600,000 orang pelajar sekolah, penuntut institut pengajian tinggi serta masyarakat umum.
MSN 2024 juga akan melaksanakan aktiviti dan pertandingan berdasarkan tujuh bidang fokus utama, iaitu kesihatan planet, kimia dan bioteknologi, kegunaan aman nuklear, inovasi sosial, kejuruteraan dan kecerdasan buatan, nanoteknologi serta angkasa.
Rakyat Malaysia dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Karnival MSN 2024 yang akan dianjurkan serta mengikuti pelbagai program pengisian yang telah disediakan secara dalam talian menerusi platform MSN 2024.