1 April 2024, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Vaksin mampu merangsang sistem pertahanan badan untuk membentuk imuniti terhadap penyakit tertentu, mencegah penyakit berjangkit dan mengelakkan komplikasi jangkitan pneumokokal yang boleh mengancam nyawa, jelas Penyelia Jururawat Klinik Kesihatan Simpang Empat, Puan Almi Zuhana Abdul Rashid dalam program Imunisasi Vaksin Pneumokokal Catch-Up yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Menurut beliau, jangkitan pneumokokal bermula daripada jangkitan pada radang paru-paru, selaput otak atau radang otak, jangkitan dalam telinga, jangkitan dalam darah dan jangkitan sinus.

Beliau juga memaklumkan bahawa jangkitan pneumokokal boleh merebak menerusi titisan pernafasan seperti bersin dan batuk, melalui sentuhan pada permukaan tercemar dan ciuman daripada golongan dewasa kepada bayi.

Tambah beliau, golongan yang biasanya berisiko mendapat jangkitan pneumokokal ialah bayi, kanak-kanak, warga emas dan golongan yang imuniti badannya rendah.

Sementara itu, Penyelia Jururawat Klinik Kesihatan Beseri, Puan Maizura Abdullah yang turut diundang untuk membincangkan isu tersebut memaklumkan bahawa program Imunisasi Pneumokokal Catch-Up telah dilaksanakan di semua klinik kesihatan dan di seluruh negara pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.

Jelas beliau, golongan yang layak diberikan Imunisasi Vaksin Pneumokokal Catch-Up ialah kanak-kanak yang lahir pada tahun 2018 dan tahun 2019, manakala kanak-kanak yang lahir pada tahun 2020 hingga tahun 2023 layak diberikan vaksin ini mengikut jadual vaksinasi yang sedia ada.

Menerusi program ini, sebanyak tiga dos suntikan diberikan kepada bayi dan kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun, manakala suntikan untuk kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 diberikan mengikut jadual. Dos Primer Dua diberikan kepada bayi berumur empat bulan, manakala dos penggalak diberikan kepada bayi yang berumur 15 bulan.

Ibu bapa dinasihatkan untuk membawa anak-anak yang lahir pada tahun 2018 hingga tahun 2023 ke klinik kesihatan yang berhampiran bagi mendapatkan suntikan Imunisasi Vaksin Pneumokokal Catch-Up.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.