1 April 2024, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan Sesi Demonstrasi Penggunaan Unit Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih (MHRU) dan Kenderaan Toyota Mirai di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, hari ini.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pihaknya telah mengorak langkah awal melalui kerjasama dengan UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. dalam mengetengahkan potensi kenderaan berkuasa hidrogen, khususnya di Semenanjung Malaysia.

“Hal ini susulan daripada pemeteraian Dokumen Kerjasama Projek Stesen Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih (MHRS) antara rakan industri tempatan dengan sokongan MOSTI bersempena dengan World Renewable Energy Congress pada Julai tahun lalu,” kata MOSTI dalam kenyataan itu.

Ujarnya, MHRS dijadualkan akan mula beroperasi sebelum akhir tahun ini.

MOSTI juga menyatakan bahawa sesi demonstrasi berkenaan bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pemegang taruh, terutamanya dalam ekosistem teknologi peralihan tenaga dan hidrogen serta masyarakat terhadap kenderaan berkuasa hidrogen melalui penggunaan MHRU dalam usaha memacu teknologi ke arah transisi tenaga yang lebih bersih berasaskan hidrogen.

MHRU merupakan teknologi pengisian semula hidrogen ke dalam kenderaan bagi menggantikan bahan api fosil dan bersifat mudah alih yang membolehkannya dipindahkan ke lokasi yang berbeza mengikut keperluan semasa.

Jelas MOSTI, kenderaan yang digunakan ialah Toyota Mirai, iaitu kenderaan jenis elektrik sel bahan api yang menjana elektrik dengan menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan dan air sebagai hasil sampingan tanpa sebarang pelepasan karbon.

Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dalam pembangunan sosioekonomi negara, terutamanya rukun kemampanan dan daya cipta, pelaksanaan MHRU dan MHRS adalah sebahagian daripada pelan tindakan yang telah direncanakan melalui Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen untuk pembangunan kapasiti dan pelaburan modal insan di sepanjang rantaian nilai ekonomi hidrogen, khususnya mobiliti rendah karbon.

Tegas MOSTI, kementerian sentiasa komited untuk menjadikan Malaysia termasuk dalam kalangan negara ekonomi terkemuka dunia melalui pemacuan teknologi dan mencapai sasaran penyahkarbonan global menjelang tahun 2050.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.