27 Mac 2024, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan akan memperkenalkan satu program insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltan (PV) oleh pengguna domestik, iaitu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS).

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof dalam satu kenyataan, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman oleh pengguna domestik merupakan langkah pantas bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dapat dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

Tambah beliau, mengambil kira potensinya yang besar, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman wajar diperluas bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 serta mampu mengurangkan pelepasan karbon oleh sektor bekalan elektrik.

Pelancaran SolaRIS dijangka akan meningkatkan penerapan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah program Net Energy Metering (NEM).

Beliau juga berkata, pemberian rebat berjumlah RM1,000/kWac hingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April 2024.

Ujar beliau, skim berkenaan terbuka kepada warganegara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sesuai kepada pemohon kali pertama bagi program NEM.

Beliau juga memaklumkan bahawa pemberian rebat adalah berdasarkan prinsip “first come first served” bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April hingga 31 Disember 2024 dan permohonan NEM Rakyat yang telah diperoleh perlu beroperasi selewat-lewatnya 31 Mac 2025 atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS telah habis diagihkan.

Pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasangan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah program NEM Rakyat atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank tempatan pengguna, tertakluk kepada terma dan syarat tuntutan.

Menurut beliau, pemberian insentif tersebut akan dikendalikan oleh TNB dan perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga.

Jelas beliau, kerajaan juga bersetuju untuk meluluskan kuota tambahan sebanyak 100 megawatt (MW) di bawah program NEM Rakyat bagi memperluas pelibatan rakyat dalam penjanaan TBB, sekali gus menjadikan jumlah kuota yang diperuntukkan meningkat kepada 350 MW.

Pihak kementerian yakin bahawa SolaRIS mampu menarik lebih banyak pengguna domestik untuk menyertai dan menikmati manfaat daripada pemasangan sistem solar di premis kediaman dan seterusnya menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga serta sasaran neutral karbon negara menjelang tahun 2050.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.