Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Perkhidmatan Berhenti Merokok mampu membantu perokok berhenti merokok dengan menggunakan teknik terapi modifikasi tingkah laku, terapi farmakoterapi atau kombinasi kedua-duanya dalam tempoh enam bulan, jelas Pegawai Pendidikan Kesihatan Wellness Hub Perlis, Puan Khairunnisa Rahmat dalam program “Susah Betul Nak Berhenti!” yang disiarkan menerusi siaran langsung Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, hari ini.
Menurut beliau, Perkhidmatan Berhenti Merokok yang disediakan di klinik atau hospital berupaya memberikan sokongan dan bantuan komprehensif kepada perokok.
Sokongan tersebut dilakukan menerusi perubahan tingkah laku, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pesakit meneruskan usaha untuk berhenti merokok serta mengekalkan pesakit berada pada tahap positif untuk mengelakkan relaps.
Menurut beliau, berdasarkan hasil kajian yang dijalankan, sebanyak 23.1 peratus bersamaan dengan 4.75 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas merupakan perokok.
“Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 43.9 peratus perokok terdiri daripada lelaki dengan anggaran bilangan rokok yang dihisap adalah sebanyak 14 batang rokok sehari,” kata Puan Khairunnisa Rahmat.
Dalam sesi perbincangan itu, beliau menjelaskan bahawa penggunaan tembakau berisiko memberikan ketagihan kepada perokok dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti masalah sistem pernafasan, kanser dan jantung.
Beliau berkata demikian kerana asap rokok mengandungi lebih kurang 4000 bahan kimia beracun dan sebanyak 63 peratus daripada bahan kimia tersebut boleh mengakibatkan kanser.
“Antara tanda ingin merokok yang dialami oleh perokok setelah mula menghentikan tabiat merokok termasuklah tidak sabar, cepat marah, gangguan tidur, cepat letih, kemurungan dan selera makan berkurangan. Lazimnya, tanda ingin merokok mula ditunjukkan oleh perokok selepas tempoh 12 jam berhenti merokok dan menghisap rokok yang terakhir,” ujarnya.
Beliau juga berkongsikan beberapa cabaran yang dihadapi oleh perokok setelah berhenti merokok seperti rakan memperlekehkan niat untuk berhenti merokok dan kurang sokongan daripada ahli keluarga.
“Pada masa yang sama, cabaran daripada ahli keluarga dan rakan sekerja yang merokok serta tempat kerja yang menyediakan ruangan merokok juga memberikan kesan yang besar kepada perokok,” jelasnya lagi.
Puan Khairunnisa Rahmat menegaskan bahawa penggunaan rokok elektronik sebagai pengganti rokok sebenarnya tidak berkesan untuk menghentikan tabiat merokok
Penggunaan rokok elektronik merupakan langkah alternatif untuk mengurangkan ketagihan. Kajian perbandingan antara penggunaan rokok elektronik, terapi penggantian nikotin dan placebo juga membuktikan bahawa tiada perbezaan dalam kejayaan untuk berhenti merokok melalui penggunaan alat ini.