16 Mac 2024, 21:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Setiap organisasi dalam industri kesihatan perlu memastikan pengurusan risiko diberi keutamaan supaya risiko dalaman dan luaran dapat ditangani dengan sebaik-baik mungkin bagi mengelakkan impak negatif terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan.”

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat mengadakan lawatan bersempena dengan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kerajaan Negeri Perlis ke Hospital Tawau, Sabah, pada hari ini.

Tambah baginda,

Industri kesihatan memerlukan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan tulen yang sentiasa memberikan fokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan, terbuka kepada pandangan membina dan mampu membuat perancangan hala tuju yang jelas untuk organisasi masing-masing.

Sistem pengurusan yang sistematik, efektif dan berintegriti amat diperlukan untuk menyokong kepimpinan organisasi dan memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Perubatan) YBhg. Datuk Dr. Abd. Kahar Abd. Asis, Pengarah Hospital Tawau, YBrs. Dr. Norlimah Arsad dan Timbalan Pengarah Hospital Tawau, YBrs. Dr. Azman Ibrahim. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengadakan lawatan ke wad bersalin, wad kanak-kanak dan Unit Audiologi, selain memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Antara barangan yang disumbangkan kepada Unit Audiologi Hospital Tawau, melalui DYTM Tuanku Syed Faizuddin termasuklah satu unit katil bayi daripada Pengarah Urusan Econmas Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Rick Cheng Wooi Seong dan satu unit Visual Reinforcement Audiometry oleh Pengarah Eksekutif, DMIA Group, YBhg. Datuk Seri Subramaniam Pillai.

Selain itu, turut disumbangkan 16 kotak barangan daripada AEON BIG (M) Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya Tuan Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, 31 Bakul Makanan daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia Perlis yang disampaikan oleh Pengarahnya Encik Amran Mahadi dan 100 hamper kepada wad bersalin dan wad kanak-kanak daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.