15 Mac 2024, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyelar tindakan sekumpulan individu yang disyaki telah menggunakan kaedah dilarang dan menyebabkan kematian ikan yang banyak di Sungai Singor, Hutan Simpan Temenggor, Gerik, Perak.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan, DOF memandang serius video yang telah tular dalam media sosial dan pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap perkara ini bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Berdasarkan hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Pejabat Perikanan Daerah Hulu Perak, kematian ikan berkenaan melibatkan spesies tengas, kelah, terubul, lampam dan beberapa spesies lain yang merupakan ikan asli di kawasan tersebut,” kata beliau.

Ikan kelah (Tor tambroides) merupakan spesies ikan yang dilindungi di bawah Kaedah-kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992, Jadual Kedua, Kaedah 3 (4) yang menyatakan larangan menangkap, membunuh dan memiliki kecuali mendapat kelulusan bertulis daripada Pegawai Perikanan Darat.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah kaedah ini boleh dikenakan denda apabila disabitkan kesalahan dengan tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan itu juga, DOF menjelaskan beberapa kaedah penangkapan ikan yang dilarang di bawah Akta Perikanan 1985 termasuklah penggunaan arus atau renjatan elektrik, bom ikan, menuba ikan atau menggunakan racun kerana kaedah penangkapan tersebut boleh menyebabkan kerosakan ekosistem kehidupan air tawar dan laut, sekali gus menyebabkan kepupusan spesies asli yang menghuni kawasan berkenaan.

Jelas DOF, kejadian tidak bertanggungjawab ini juga telah mengakibatkan kesinambungan ekosistem di kawasan itu terputus, terutamanya lubuk atau kawasan yang menjadi habitat utama induk ikan sungai seperti kelah dan tengas untuk bertelur serta menghasilkan anak ikan yang menjadi rantaian makanan di sungai tersebut.

DOF bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menangani kes ini dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung dengan hal berkenaan boleh menghubungi hotline FishCom 24 jam di talian 03-8870 4058.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.