9 Mac 2024, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lenggong – Pemasyhuran Lenggong Geopark merupakan satu daripada usaha dalam pemeliharaan kelestarian alam semula jadi dan pengurusan lestari kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa.

Hal ini adalah seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat (YB) Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam selaku Peneraju dan Pengerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan memberikan sokongan penuh terhadap usaha pembangunan Lenggong Geopark.

“Sebanyak RM4 juta peruntukan telah diluluskan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak di bawah rancangan boleh pinda pertama hingga ketiga (2021–2023) Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pelaksanaan kajian dan penyelidikan aspek geologi di Lenggong,” kata YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tambah beliau, kementerian turut memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta melalui Projek Berskala Kecil di Bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi untuk menaik taraf infrastruktur di Lenggong Geopark.

Beliau berkata, hasil kerja naik taraf seperti pemasangan struktur promosi, iaitu papan iklan, penunjuk arah, mercu tanda dan papan maklumat di geotapak, tapak biodiversiti, tapak sejarah dan budaya serta pusat penerangan komuniti Lenggong Geopark ini dapat menarik kedatangan pelancong.

Katanya, dalam perkembangan lain, kementerian dengan kerjasama JMG Perak dan Penasihat Lenggong Geopark, iaitu YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin telah berjaya membangunkan Galeri Lenggong Geopark yang turut dirasmikan pada hari ini.

Pembangunan Galeri Lenggong Geopark yang ditaja oleh Yayasan Al-Bukhary menunjukkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan turut bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dalam membantu pembangunan Lenggong Geopark.

Jelas beliau, galeri tersebut telah berjaya menarik sebanyak 2500 orang pengunjung sejak pembukaannya pada 16 Disember 2023 hingga Februari 2024.

Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.