9 Mac 2024, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Mesyuarat Pengarah-pengarah Jabatan Alam Sekitar Tahun 2024 terus komited dalam merancang dan merangka rangka kerja berkaitan dengan kawalan punca pencemaran dari pelbagai aktiviti untuk terus diperkasakan selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

JAS dalam kenyataannya berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan perkara berhubung dengan peranan dan kebersamaan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam mengawal serta menangani kemerosotan kualiti air sungai di Malaysia.

“Data Laporan Kualiti Alam Sekeliling menunjukkan 486 sungai (72 peratus) daripada 672 batang sungai yang dipantau berada dalam kategori bersih, 161 sungai (24 peratus) pada kategori sederhana dan 25 sungai (empat peratus) dikategorikan sebagai tercemar,” kata JAS.

Sementara itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan yang sama menyatakan bahawa pelbagai isu dibincangkan, termasuklah jabatan memperhalusi kerjasama dan komitmen yang melibatkan kerajaan negeri dan peringkat nasional.

Menurut beliau, perbincangan tersebut merujuk isu pencemaran yang perlu dilihat secara menyeluruh berhubung dengan perkara di bawah bidang kuasa masing-masing yang memerlukan perbincangan lanjut bagi penyelarasan bersama-sama pihak yang terlibat agar semua isu itu dapat diselesaikan secara holistik.

Tambah beliau, kerjasama antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri amat diperlukan bagi membincangkan isu berkaitan dengan kualiti air sungai, termasuklah merangka strategi untuk pemuliharaan kualiti air sungai.

Jelas JAS, mesyuarat tersebut juga memberikan penekanan tentang perkara di bawah fungsi dan peranan jabatan yang sentiasa memerlukan penambahbaikan secara berterusan dalam memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan jabatan memenuhi kehendak orang awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.