Oleh Fauziah Bharum
7 Mac 2024, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Ramadan Pasti Kurus! Sihat Sepanjang Ramadan anjuran Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberikan pengisian tentang penjagaan pemakanan dan kesihatan yang betul.

Program yang berlangsung secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan peserta sebanyak 380 orang.

“Seseorang itu pasti kurus sekiranya disertai dengan usaha dan tidak hanya mendengar sahaja,” kata Pegawai Dietetik, Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM, Puan Norhaishah Harun ketika memulakan sesi perbincangan.

Dalam perbincangan tersebut, beliau memberikan penekanan terhadap panduan penjagaan pemakanan melalui Konsep 3J, iaitu kawalan jumlah, jam dan jenis makanan yang diambil.

Beliau juga menyarankan agar para peserta menggunakan Pinggan Ramadan yang hampir serupa dengan Pinggan Sihat Malaysia dalam pengambilan makanan.

Puan Norhaishah Harun berkongsikan panduan penjagaan pemakanan menerusi Pinggan Ramadan.

Selain itu, beliau turut berkongsikan panduan untuk membeli juadah di bazar Ramadan dan cadangan menu yang sesuai mengikut keperluan kalori.

Sementara itu, Pegawai Program Pemulihan Perubatan (Fisioterapi), FSK, UKM, Puan Aida Safra Ruslan berjaya menarik perhatian para peserta untuk bersama-sama dalam perbincangan tentang penurunan berat badan semasa berpuasa.

”Penurunan berat badan akan menjadi lebih mudah dicapai dan berkesan melalui gabungan antara senaman dengan pengurangan kalori harian,” kata beliau.

Sesi perkongsian bersama-sama Puan Aida Safra Ruslan tentang cara menurunkan berat badan semasa berpuasa.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.