1 Mac 2024, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Planetarium Negara pada hari ini meneroka peluang kerjasama, khususnya dalam bidang penerbitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi perbincangan yang diadakan bersama-sama Pengarah Penerbitan, Bahagian Buku Sekolah dan Bahagian Majalah DBP.

Menurut Pengarah Planetarium Negara, Tuan Haji Shahruddin Haji Yusof, Planetarium Negara sedang membangunkan Modul Astronomi bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Ketidakupayaan Penglihatan untuk dijadikan sebagai bahan rujukan yang berstruktur serta modul sisipan pembelajaran sains di sekolah pendidikan khas cacat penglihatan di Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, kami percaya dengan kepakaran yang dimiliki oleh DBP dan selaku penerbit berwibawa di negara ini, pihak Planetarium Negara berhasrat untuk melibatkan DBP sebagai rakan kerjasama bagi penerbitan projek khas ini, terutamanya dalam aspek penyemakan bahasa dan ilustrasi modul,” jelas Tuan Haji Shahruddin Haji Yusof lagi.

Puan Fauzilahyatun Mustafa pula berkata, DBP berbesar hati dan menyambut baik segala usaha serta cadangan kerjasama yang diusulkan oleh pihak Planetarium Negara.

“DBP amat menyokong usaha yang dijalankan oleh Planetarium Negara yang menitikberatkan aspek pendidikan dalam bentuk penerbitan dalam bahasa Melayu untuk memberikan kefahaman kepada murid berkeperluan khas dan orang ramai dalam bidang astronomi,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, DBP menggalas tanggungjawab dalam membina tamadun bangsa melalui usaha penerbitan dalam bentuk buku, majalah dan produk penerbitan lain yang merentasi pelbagai disiplin ilmu.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa menyampaikan cenderamata majalah Dewan Kosmik dan produk penerbitan DBP kepada Pengarah Planetarium Negara, Tuan Haji Shahruddin Haji Yusof dalam sesi perbincangan yang diadakan di Menara DBP, hari ini.

“Selain buku, DBP juga membuka peluang kepada pihak Planetarium Negara untuk menerbitkan rencana menerusi majalah terbitan DBP. Usaha ini penting untuk memberikan kefahaman kepada orang ramai tentang bidang astronomi dan sains angkasa serta menyebarluaskan usaha yang dilaksanakan oleh pihak Planetarium Negara”, tambah Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Sebelum ini, DBP pernah bekerjasama dengan Planetarium Negara dalam penganjuran program Malam Cakerawala Berbisik pada November 2023 yang menggabungjalinkan deklamasi puisi dengan latar muzik kosmos.

Perbincangan ini turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah (Kanan) Planetarium Negara, Encik Mohd Zamri Shah Mastor; Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara, Puan Norulaswad Sulaiman; Penolong Pegawai Sains (Kanan) Planetarium Negara, Puan Norakma Mohamad dan beberapa pegawai Planetarium Negara lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.