28 Februari 2024, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membudayakan pengetahuan dan minat masyarakat terhadap sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi memastikan pembudayaan sains menjadi aspek utama dalam kehidupan harian masyarakat.”

Demikian menurut Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Tuan Chang Lih Kang yang berkongsikan inisiatif dan program yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) secara langsung menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang yang berkongsikan inisiatif dan program yang telah dilaksanakan oleh MOSTI secara langsung menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

“Pembudayaan STI bukan sahaja menjadi fokus utama kementerian, malah dianggap sebagai inti aktiviti utama, di samping penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan,” kata YB Tuan Chang Lih Kang.

Menurut beliau, pihak kementerian telah melaksanakan beberapa program dan inisiatif seperti Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics bagi mencapai matlamat pembudayaan STI berkenaan.

Minggu Sains Negara ialah program yang diperkenalkan untuk memupuk minat pelajar terhadap STI dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan jumlah pengunjung mencapai lebih kurang 600,000 orang pada setiap tahun.

Ujar beliau, program Malaysia Techlympics pula merupakan program yang menggunakan pendekatan pertandingan dalam bentuk olimpik teknologi yang dibuka kepada golongan muda dari usia tujuh tahun hingga 30 tahun untuk bersaing dalam kategori yang dipertandingkan.

“Baru-baru ini, pembudayaan sains dan teknologi juga diwujudkan melalui inisiatif baharu seperti STEM Camp yang melibatkan kerjasama dengan pelbagai sekolah, Pusat Sains Negara, Planetarium negara dan agensi lain untuk memberikan pengalaman pembelajaran sains secara langsung ke dalam bilik darjah,” jelas beliau.

Katanya, kerjasama dengan sektor swasta dan industri perlu diberikan penekanan kerana pihak berkenaan merupakan penerima utama tenaga kerja yang dilatih oleh sistem pendidikan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian juga terlibat dalam program realiti seperti “Innovathon” yang melibatkan inovasi dalam industri sekali gus membuktikan keberkesanan kerjasama antara sektor awam dengan sektor swasta dalam memajukan sains dan teknologi.

Menerusi program seumpama ini, kementerian dapat mengekalkan minat dan menyedarkan masyarakat tentang perkembangan terkini dalam dunia sains dan teknologi.

Sebelum mengakhiri sesi perkongsian dalam rancangan tersebut, beliau menyatakan bahawa kesemua inisiatif yang dilaksanakan oleh MOSTI telah menunjukkan komitmen kerajaan untuk membudayakan STI sebagai langkah strategik bagi memastikan Malaysia kekal relevan dan mampu bersaing dalam era teknologi tinggi menjelang tahun 2030 dengan melibatkan kerjasama daripada semua pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.