28 Februari 2024, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menjalinkan kerjasama strategik dengan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi memperluas adaptasi teknologi dalam aspek penyenggaraan infrastruktur jalan dan sektor pembinaan.

KKR dalam kenyataannya berkata, program medan ujian (sandbox) tersebut akan menjadi platform bagi mengintegrasikan teknologi, kajian pembinaan dan penyelenggaraan jalan agar dapat dilaksanakan secara inklusif di seluruh negara.

Program berkenaan juga dapat memberikan ruang dan peluang kepada pemain industri untuk mengetengahkan inovasi dan teknologi mereka dalam ruang lingkup bidang kuasa KKR.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa satu perjumpaan telah diadakan antara Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat (YB) Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pengurusan tertinggi KKR dan agensi serta pengurusan tertinggi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di ibu pejabat KKR, semalam.

“Dalam pertemuan selama hampir satu jam itu, pasukan MOSTI telah membentangkan inisiatif medan ujian dan pencapaian program terdahulu yang telah memberikan impak kepada ekonomi dan rakyat,” kata KKR.

Antara pencapaian yang diketengahkan termasuklah Sandbox Pembinaan bersama-sama Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan Kotak Pintar Lebuh Raya Pintar bersama-sama PLUS, yakni kedua-dua medan ujian ini berperanan sebagai pemangkin kepada penyelesaian masalah di lapangan bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Jelas KKR, pihaknya dan MOSTI juga telah berbincang tentang peluang kerjasama bagi inisiatif medan ujian ini dalam mengetengahkan teknologi dan inovasi untuk menyelesaikan isu penyenggaraan jalan raya termasuklah dalam aspek pengawalseliaan.

Sementara itu, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan yang sama juga menyatakan bahawa inovasi yang dihasilkan oleh KKR dan agensi di bawahnya turut dapat diketengahkan melalui program medan ujian.

Melalui Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) dan CREAM, pelbagai hasil inovatif telah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa dan kesemua produk ini berpotensi untuk diketengahkan dan digunakan secara meluas oleh sektor yang terlibat.

Ujar beliau, KKR berhasrat untuk melaksanakan program Sandbox Infrastruktur Jalan Pintar yang akan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan dengan jalan raya menerusi kerjasama yang dijalinkan dengan MOSTI ini.

Hal ini termasuklah melihat kepada teknologi pembinaan jalan yang menggunakan bahan yang lebih berdaya tahan, tampalan jalan yang lebih berkualiti dan tahan lama, teknologi perabot jalan yang dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan sebagainya sejajar dengan semangat program MYJalan yang diketengahkan oleh KKR.

Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, YBhg. Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, YBhg. Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D (PTK), Encik Boniface Anak Edwin Manung dan Ketua Pembangunan Ekosistem MRANTI, Encik Mohd Safuan Mohd Zairi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.