27 Februari 2024, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Dalam usaha memastikan kebersihan alam sekitar sentiasa bersih dan terjamin, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperkenalkan Smart Reverse Vending Machine (SRVM) Plus bagi membantu rakyat di negeri ini mengamalkan budaya kitar semula.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Yang Berhormat (YB) Datuk Rais Datuk Wira Yasin berkata, SRVM Plus merupakan satu daripada teknologi hijau baharu yang diperkenalkan di Melaka.

YB Datuk Rais Datuk Wira Yasin melancarkan SRVM Plus di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

“Objektif utama pengenalan mesin layan diri ini adalah untuk mengurangkan pembuangan botol plastik dan tin aluminium, menjana kitaran ekonomi melalui aktiviti kitar semula dan menyediakan persekitaran yang bersih dan kondusif, terutamanya di kawasan pelancongan di bandar raya Melaka,” kata beliau.

Menurut beliau, mesin berkenaan merupakan mesin layan diri yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Setiap botol plastik atau tin aluminium yang dikitar semula akan dibayar secara kredit ke dalam akaun aplikasi RVM dengan kadar maksimum sebanyak RM0.05 bagi setiap unit.

“Sebagai permulaan, mesin layan diri ini akan ditempatkan di empat lokasi tumpuan pelancong yang datang ke bandar raya Melaka dan pengguna yang menggunakan mesin ini akan mendapat mata (point) yang boleh ditukarkan kepada nilai wang ringgit serta air mineral secara percuma,” jelasnya.

Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR daripada aplikasi yang dimuat turun dalam telefon pintar masing-masing dan memasukkan barang kitar semula untuk mendapatkan bayaran.

Mengulas lebih lanjut, YB Datuk Rais Datuk Wira Yasin berkata, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan teknologi itu dengan lebih meluas di kawasan lain dan beliau yakin bahawa usaha MBMB itu akan menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang bebas karbon sekali gus menggalakkan rakyat membudayakan amalan kitar semula.

Tambah beliau, orang ramai yang ingin merasai pengalaman menggunakan mesin kitar semula pintar dan bersih tersebut diundang hadir ke Kompleks Graha Makmur MBMB dan mesin SRVM berkenaan akan mula diletakkan di kawasan Bandar Hilir pada penghujung Februari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.