27 Februari 2024, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan STEM Camp bertujuan memupuk minat pelajar terhadap ilmu sains dan seterusnya meningkatkan pengetahuan, menambah baik kemahiran serta memahami aspek aplikasi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Chang Lih Kang dalam satu kenyataan, STEM Camp merupakan inisiatif di bawah program SciTech4U melalui aktiviti pembelajaran secara tidak formal di luar bilik darjah.

“Di bawah program SciTech4U, pembelajaran STI diadakan dalam bentuk aktiviti interaktif, amali, pocket talk, demonstrasi, pertandingan, pameran dan kaedah lain yang bersesuaian,” kata beliau.

Jelasnya, SciTech4U melibatkan beberapa kategori program seperti program perdana, iaitu Minggu Sains Negara dan MalaysiaTechlympics, program bersepadu dengan pelibatan daripada jabatan, agensi atau pihak lain seperti STEM Camp dan sebagainya.

Beliau juga menyatakan bahawa MOSTI amat menitikberatkan pendekatan Whole of Government Approach (WGA) bagi menangani cabaran berkaitan dengan minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan disebabkan oleh faktor itu, MOSTI telah menjalin kerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan agar usaha kolektif dapat direncana dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pelaksanaan STEM Camp dirangka melalui pelibatan rakan strategik secara bersepadu yang terdiri daripada pelbagai pemegang taruh dalam bidang STEM seperti agensi di bawah MOSTI, institut pengajian tinggi awam dan swasta, badan bukan kerajaan serta agensi lain yang menjalankan fungsi dalam pembudayaan STI di negara ini.

Ujar beliau, penganjuran program STEM Camp di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Moh, Petaling Jaya telah dijayakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJKC Chen Moh dengan kerjasama tiga agensi di bawah MOSTI, iaitu Pusat Sains Negara, Planetarium Negara dan Agensi Nuklear Malaysia dengan penyertaan sebanyak 100 orang pelajar.

Katanya, MOSTI mensasarkan untuk menganjurkan sebanyak 15 siri STEM Camp di sekolah terpilih di seluruh negara sepanjang tahun ini.

STEM Camp juga dianjurkan kerana MOSTI menyedari akan kepentingan bakat yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri dalam memacu hasrat negara mencapai negara berteknologi tinggi, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2030.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.