Oleh Rashid Ating
26 Februari 2024, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Profesor Madya Dr. Reena Rajasuriar dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) dan Profesor Dr. Siti Nursheena Mohd Zain dari Fakulti Sains, UM berjaya dicalonkan sebagai calon akhir bagi program Sarjana Pelawat Fulbright Tahun 2024–2025.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia–Amerika (MACEE) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia.

Program Sarjana Fulbright merupakan program pertukaran pendidikan antarabangsa berprestij yang ditaja oleh kerajaan Amerika Syarikat dan direka untuk meningkatkan persefahaman antara rakyat Amerika Syarikat dengan negara lain.

“Program ini bukanlah sekadar pelaburan tetapi ikrar yang dilakukan untuk masa hadapan, komitmen terhadap pembentukan pemimpin global yang akan memacu perubahan, menangani isu yang paling mendesak di dunia dan membentuk wacana antarabangsa melalui kuasa pendidikan dan penyelidikan,” kata Pengarah Eksekutif MACEE, Encik Curtis Johnson.

Profesor Madya Dr. Reena Rajasuriar yang berpengalaman hampir 20 tahun sebagai penyelidik farmaseutikal akan bekerjasama dengan rakan penyelidik beliau di AS dalam kajian human immunodeficiency virus (HIV) berimpak yang bertujuan mengubah kapasiti klinikal pesakit yang hidup dengan HIV (PWH) di Malaysia.

Kajian tersebut dijalankan bagi meningkatkan saringan, diagnosis dan pengurusan gangguan kognitif dalam PWH menggunakan alat ujian yang mudah dilaksanakan dengan potensi kebolehgunaan untuk semua jenis penyakit dan negara lain di Asia.

Bukan itu sahaja, kajian tersebut turut memberikan pandangan mengenai faktor pemacu yang berpotensi untuk penurunan kognitif dalam persekitaran negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kajian rintis oleh Profesor Madya Dr. Reena Rajasuriar telah diiktiraf melalui pelbagai geran yang berprestij seperti Geran Wanita Kebangsaan Loreal-UNESCO 2016, Geran Akademi Penyelidikan untuk Penyembuhan HIV 2018 dan Geran Pelawat Antarabangsa CIRA 2019 dari Universiti Yale, AS.

Sementara itu, Profesor Dr. Siti Nursheena Mohd Zain, seorang parasitologi yang berpengalaman lebih daripada 25 tahun telah mendedikasikan hidupnya untuk menangani jangkitan parasit dan kesannya kepada masyarakat rentan termasuklah pekerja asing, pelarian dan golongan miskin bandar dalam usaha meningkatkan tahap kecelikan terhadap kesihatan.

Projek Fulbright beliau bertujuan menyumbang kepada usaha global dalam memerangi penyakit tropika terabai dan memajukan pemahaman kolektif mengenai penyakit ini serta meningkatkan kehidupan golongan yang terjejas di Malaysia.

Komitmen luar biasa dan kepakaran Profesor Dr. Siti Nursheena Mohd Zain telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah termasuklah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Universiti Malaya dan Anugerah Perak Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia pada tahun 2014.

Kedua-dua individu berkenaan dipilih berdasarkan merit akademik yang luar biasa, potensi kepimpinan dan komitmen yang diberikan untuk memupuk pemahaman antarabangsa melalui kajian yang dijalankan.

Pengiktirafan yang diberikan mencerminkan dedikasi mereka terhadap bidang neuropsikologi dan sains bioperubatan sekali gus menyumbang kepada usaha diplomasi pendidikan MACEE dan program Fulbright khususnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.