19 Februari 2024, 10:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program TechnoMart Malaysia–Scotland yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini telah mengenal pasti sebanyak sembilan projek yang berpotensi besar untuk dibangunkan melalui kerjasama strategik kedua-dua negara berkenaan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), sembilan projek tersebut meliputi tiga projek dalam aspek pembangunan penyelesaian berasaskan satelit dalam bidang perhubungan, pertanian dan penentu kedudukan, tiga projek lagi dalam penyediaan perkhidmatan pelancaran dan pengoperasian serta tiga projek lain dalam aspek penyelidikan dan pembangunan teknologi satelit bersama-sama pihak akademik.

Teknologi pembuatan termaju dalam bidang angkasa turut dikenal pasti sebagai satu daripada potensi kerjasama strategik berdasarkan ketersediaan industri elektrik dan elektronik dalam negara.

“Pembangunan pesat sektor angkasa pada masa ini memerlukan usaha dan keyakinan yang boleh dicapai dengan lebih berkesan melalui sinergi dan kerjasama erat antara negara,” kata Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, Tuan Haji Azlikamil Napiah yang mewakili Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucap utama perasmian program tersebut.

Menurut beliau, program ini dilaksanakan tepat pada masanya, yakni ketika Malaysia sedang giat membangunkan perindustrian angkasa negara secara terancang, berdaya saing selain turut memperkasakan pemindahan ilmu serta meningkatkan pembangunan kepakaran tempatan.

Program yang berlangsung di MIGHTPartnership Hub, Cyberjaya dan Ibu Pejabat MYSA, Kuala Lumpur itu merupakan kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MYSA dan Malaysian Industry Group High Technology (MIGHT) dengan Scottish Development International.

Selain itu, program tersebut turut menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Malaysian Space Industry Consortium bagi membina peluang dan meneroka kerjasama industri dalam bidang angkasa antara Malaysia dengan Scotland yang disokong sepenuhnya oleh United Kingdom.

Pihak MYSA menyatakan bahawa pengisian program berkenaan melibatkan sesi bengkel yang membincangkan lima topik utama bidang angkasa, iaitu space application, space operations, space manufacturing, funding and governance dan academia diikuti dengan pembentangan, pitching dan sesi suai padanan perniagaan.

Untuk rekod, sebanyak 22 delegasi dari Scotland yang terdiri daripada lapan syarikat terkemuka dan dua universiti termasyhur adalah antara peserta yang terlibat dalam program tersebut, manakala penyertaan dari Malaysia melibatkan 60 orang peserta yang terdiri daripada enam agensi kerajaan, 12 syarikat dan 10 universiti tempatan.

Program yang julung-julung kali diadakan dalam sektor angkasa ini merupakan satu platform bagi pemain industri angkasa Scotland dan Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dan seterusnya menyokong pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 serta selari dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara di bawah teras strategik keenam yang menumpukan kepada usaha bagi mengukuhkan hubungan strategik negara pada peringkat antarabangsa.

Selaras dengan aspirasi Membangun Malaysia MADANI, MOSTI melalui MYSA akan terus komited untuk mengangkat martabat negara menjadi peneraju dalam teknologi angkasa, mewujudkan ekosistem sektor angkasa lepas negara yang mampan, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kedaulatan negara dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penggunaan teknologi angkasa secara optimum.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.