Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengingatkan semua pihak tentang kepentingan perlindungan terhadap spesies ikan paus dan kerjasama semua pihak dituntut bagi memastikan populasinya tidak terancam.
Populasi ikan paus di seluruh dunia yang terancam memerlukan tindakan segera daripada masyarakat untuk melindungi spesies berharga ini sebelum pupus.
“Meskipun konservasi telah dilakukan oleh pelbagai pihak di seluruh dunia, masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk melindungi masa hadapan spesies ini,” kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, DOF akan terus mendukung dan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam konservasi ikan paus dan pelbagai inisiatif perlindungan laut yang lain kerana kelangsungan hidup spesies ini penting agar dapat dilihat oleh generasi akan datang.
DOF melalui Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang sentiasa menjalankan kempen pendidikan, bengkel dan acara yang melibatkan orang awam bagi meningkatkan kesedaran tentang isu pemuliharaan ikan paus untuk memupuk pemahaman, penghargaan serta memberikan sokongan terhadap inisiatif pemuliharaan ikan paus dalam kalangan masyarakat tempatan.
Jelasnya lagi, penyertaan DOF dalam forum dan rundingan antarabangsa juga merupakan satu daripada usaha diplomatik bersama-sama negara luar bagi menyokong perlindungan mamalia dan ekosistem marin, termasuklah menggalakkan amalan pengurusan perikanan yang mampan, menangani ancaman pencemaran laut dan perubahan iklim serta menyokong inisiatif penyelidikan secara kolaboratif.
Selain itu, sokongan pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal turut diberikan kepada negara membangun dan wilayah yang kekurangan sumber serta kepakaran dalam pemuliharaan ikan paus dan usaha sama tersebut dijalankan melalui program latihan, pemindahan teknologi dan perkongsian amalan terbaik bagi meningkatkan keupayaan tempatan untuk memantau serta mengurus populasi ikan paus.
Pada masa yang sama, kerjasama dengan pihak universiti turut dilaksanakan bagi memanfaatkan kepakaran saintifik, keupayaan penyelidikan dan rangkaian komuniti dalam menyokong usaha pemuliharaan ikan paus.
IPP Rantau Abang bersama-sama Universiti Malaysia Terengganu telah menjalankan penyelidikan berkenaan dengan aspek biologi paus, ekologi serta tingkah laku selain memberikan pandangan mengenai dasar pemuliharaan serta strategi pengurusan yang seharusnya dilaksanakan.
Tidak ketinggalan, kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan juga dijalin bagi memberikan advokasi kepada orang awam serta aktiviti pemuliharaan di lapangan turut dilaksanakan dalam mendapatkan sokongan komuniti bagi menjayakan inisiatif pemuliharaan mamalia marin.
Orang awam juga boleh membantu dan menyokong usaha pemuliharaan ikan paus dengan mengurangkan penggunaan plastik, tidak membuang sisa toksik ke laut dan menyokong organisasi yang berusaha memerangi pencemaran laut dengan mengambil bahagian dalam aktiviti pembersihan pantai.
Di samping itu, masyarakat juga seharusnya mengelakkan diri daripada memberi makan dan berinteraksi dengan ikan paus kerana tindakan tersebut boleh mengganggu tingkah laku semula jadi, sekali gus membahayakan keselamatan manusia, sebaliknya membiarkan ikan paus kekal liar agar mamalia ini tidak terganggu dalam persekitaran semula jadinya.
Sebagai makluman, ikan paus ialah mamalia terbesar di dunia dalam ekosistem laut yang kini berdepan dengan ancaman pemburuan haram, pencemaran laut, perubahan iklim dan kehilangan habitat.
Di Malaysia, ikan paus merupakan haiwan spesies marin terancam dan dilindungi di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang menyatakan bahawa tiada seorang pun yang boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap, membunuh atau mengambil apa-apa mamalia akuaktik atau penyu dan mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5000.
Menurut DOF, beberapa siri penampakan spesies ikan paus pernah direkodkan dan antaranya termasuklah ikan paus Bryde (Balaenoptera edeni) yang pernah dilihat di perairan Langkawi pada Jun 2022. Ikan paus ini masuk ke Malaysia secara bermusim, iaitu ketika musim bilis untuk mencari makanan.
Penemuan ikan paus lain yang direkodkan ialah di sekitar Pulau Perak, di hujung utara Selat Melaka, di luar Tanjung Dawai dan pernah terdampar di Nenasi, Pahang (2008), Kuala Sayak, Kedah (2010) serta Pitas, Sabah (2007).
DOF juga memaklumkan bahawa tinjauan udara pada tahun 1999 hingga tahun 2000 juga pernah mengesan kehadiran spesies yang jarang-jarang ditemukan, iaitu ikan paus Omura (Balaenoptera omurai) berhampiran dengan pantai Sabah yang akhirnya mati di Kuala Penyu, Sabah pada tahun 2012.
Katanya lagi, ikan paus Sei (Balaenoptera borealis) yang merupakan spesies ketiga terbesar di dunia juga pernah terdampar di Pulau Carey dan Banting Selangor, di Pantai Nenasi, Pahang dan di Sungai Sarang Buaya, Batu Pahat, Johor.