15 Februari 2024, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sulawesi Tenggara – Jalinan kerjasama antara Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Fakultas Kesehatan Masyarakat (FKM), Universitas Halu Oleo, Sulawesi Tenggara, Indonesia melalui Klinik Optometri Bergerak (KOB) bukan sekadar memberikan perkhidmatan penyaringan dan pemeriksaan mata, malah mewujudkan kebersamaan sesama mahasiswa antara dua institusi tersebut.

Delegasi KOB yang diterajui oleh YBrs. Dr. Haliza Abdul Mutalib dan dibantu oleh enam orang mahasiswa dari Program Optometri dan Sains Penglihatan serta diiringi oleh tiga orang pensyarah dan seorang pengiring ex officio seranta menyantuni masyarakat di sekitar Kendari, Sulawesi Tenggara pada 11 Februari hingga 14 Februari lalu.

Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang program berlangsung termasuklah penyaringan penglihatan dan penyakit mata, pemeriksaan komprehensif optometri, pemberian cermin mata percuma kepada pelajar Sekolah Dasar (SD) Negeri 2 Bokori, memberikan ubat titis mata dan tunjuk ajar cara pembersihan kelopak mata dan bulu mata, perundingan ringkas tentang penjagaan mata serta ceramah berkaitan dengan kesihatan mata.

Sesi penyaringan mata terhadap semua pelajar di SD Negeri 2 Bokori.

Pada masa yang sama, terdapat sesi pengkongsian ilmu yang memberikan kefahaman dan tunjuk ajar kepada guru tentang teknik dan tatalaku ringkas penyaringan mata untuk kepentingan pelajar.

Para pelajar yang memerlukan cermin mata bagi mengurangkan kerabunan juga telah diberikan sama ada cermin mata siap pasang ataupun cermin mata kitar semula yang sesuai.

Cermin mata kitar semula ialah hasil projek kerjasama antara UKM dengan Konan University dan kolaborasi berkenaan merupakan kali kedua pihak universiti itu mengaturkan penghantaran cermin mata kitar semula bagi kegunaan khidmat masyarakat.

Menerusi program itu, sebanyak 20 pasang cermin mata telah diberikan kepada guru, ibu bapa dan pelajar di sekolah tersebut.

Atas sokongan Universitas Halu Oleo dan pihak pemerintah masyarakat setempat, delegasi KOB berpeluang memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan penyaringan mata kepada penduduk di Desa Wawatu.

Aplikasi MyMata digunakan untuk menyaring penyakit mata.

Pemeriksaan kesihatan umum telah dikendalikan oleh mahasiswa FKM, manakala pemeriksaan mata menggunakan aplikasi MyMata dan teknologi SEC Jepun untuk menyaring penyakit mata seperti pterigium dan katarak pula diuruskan oleh mahasiswa FSK, UKM.

Mahasiswa FSK, UKM mengajar cara untuk membersihkan kelopak mata dan bulu mata dengan betul.

Pada penghujung program, kedua-dua belah pihak berkongsikan pengetahuan kesihatan mata hasil daripada perkhidmatan masyarakat secara kolaboratif dan telah memberikan impak positif kepada masyarakat setempat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung di samping mempertingkatkan kompetensi pelajar, pensyarah dan kakitangan akademik kedua-dua universiti untuk melaksanakan program seumpama ini lagi pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.