9 Februari 2024, 22:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Studio Ruang Bicara, BERNAMA TV yang dikendalikan oleh pengacara berpengalaman luas, Sherkawi Jirim malam tadi menampilkan Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Profesor Dr. Ahmad Ismail yang mengupas perbincangan bertajuk Krisis Ekologi, Industri dan Alam Sekitar.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Ismail ketika bersiaran dalam program Ruang Bicara anjuran BERNAMA TV.

Profesor Dr. Ahmad Ismail yang juga Felo Akademi Sains Malaysia dan mantan profesor dalam bidang ekologi hidupan liar dan ekotoksikologi, Universiti Putra Malaysia menegaskan krisis yang berlaku pada masa ini adalah berpunca daripada aktiviti manusia itu sendiri, terutamanya dalam sektor industri dan pertanian.

Pencemaran air dan udara sememangnya akan berlaku akibat aktiviti dalam sektor tersebut. Oleh sebab itu, pemantauan, penguatkuasaan serta pelibatan pelbagai pihak amat perlu untuk menangani segala aktiviti yang mengakibatkan pencemaran yang akhirnya akan memberikan kesan buruk kepada manusia itu sendiri.

Menurutnya lagi, sistem ekologi yang melibatkan rantaian yang kompleks antara aktiviti manusia, manusia dan alam sekitar akan terjejas sekiranya usaha untuk membendung daripada krisis ini berlaku secara berulang tidak dilaksanakan.

“Misalnya, pencemaran air berlaku akibat sisa pembuangan domestik manusia dan diburukkan lagi oleh pelepasan sisa industri yang mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya seperti yang berlaku dalam tragedi Sungai Kim-Kim di Johor pada tahun 2019. Terjejasnya rantaian ekologi ini akan memberikan kesan yang besar kepada ketidakselesaan ekonomi dan manusia itu sendiri,” tambah beliau lagi.

Oleh hal yang demikian, beliau menyarankan agar peraturan serta undang-undang sedia ada bagi memastikan perancangan sesebuah kemajuan dapat dipatuhi agar negara tidak membazirkan masa dan berjuta-juta wang ringgit untuk merawat keadaan pencemaran yang memberikan kesan buruk kepada sistem ekologi dalam tempoh jangka panjang.

Menurutnya lagi, masyarakat pada hari ini juga mempunyai peranan yang besar dalam menentukan sesebuah pembangunan yang dicadangkan serta dirancangkan oleh kerajaan.

Oleh sebab itu, ruang dan saluran tertentu yang dibuka untuk masyarakat perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membantu dalam menentukan kemajuan perancangan di sesebuah kawasan dan sudah tentu manfaatnya akan turut dinikmati oleh masyarakat setempat.

Tambahnya lagi, sekiranya pencemaran sungai dan laut berlaku secara berleluasa, antara golongan masyarakat yang akan terkesan termasuklah orang asli selain mereka yang terlibat dalam aktiviti perikanan.  Beliau juga berkongsikan berkaitan kesan penggunaan beg plastik dan penyedut minuman plastik kepada sistem ekologi yang akhirnya akan menjejaskan alam sekitar dan manusia.

Mengakhiri perkongsian Profesor Dr. Ahmad Ismail menyatakan bahawa usaha meluaskan pendidikan kepentingan ekologi dan alam sekitar sedang giat dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif oleh PEM.

“Pendidikan kitar semula adalah antara yang menjadi fokus PEM untuk meningkatkan kesedaran umum bagi menguruskan bahan yang boleh dikitar semula. Sekiranya masyarakat mengambil bahagian secara serius dalam kempen kesedaran kitar semula ini, ekologi serta alam sekitar sudah tentu akan dapat diperbaik di samping menyedarkan semua pihak bahawa iltizam untuk melestarikan keharmonian dan keseimbangan ekologi dan alam sekitar ini menjadi tanggungjawab bersama,” ujar Profesor Dr. Ahmad Ismail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.