3 Februari 2024, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sumber Asli dan dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melakukan pemantauan berterusan terhadap Kapal Atosa 01 yang hanyut dari kawasan pelabuhan Kemaman di Pantai Chendor, Kuantan, Pahang sejak 30 Januari lalu dan didapati tiada sebarang pencemaran berlaku.

Kejadian kapal hanyut yang tersadai lebih kurang 15 meter dari Pantai Chendor itu adalah disebabkan oleh tali sauh kapal tersebut yang putus akibat cuaca buruk yang melanda kawasan perairan Kemaman pada 24 Januari 2024.

“Kapal ini merupakan kapal kargo kering yang berdaftar di Freetown, Sierra Leone dan tiga orang kru kapal yang berada di atas kapal tersebut telah terjun ke laut semasa kejadian berlaku bagi menyelamatkan diri,” kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, tiada sebarang kargo atau muatan di atas kapal, namun masih terdapat lebih kurang 18 tan minyak diesel yang berpotensi menyebabkan tumpahan minyak.

JAS telah menerima maklumat daripada Pejabat Laut Kemaman berhubung dengan kejadian tersebut pada pukul 10.00 pagi, 30 Januari 2024 dan pasukan penyiasat JAS telah ke lokasi kapal berkenaan pada hari yang sama.

Jelas beliau, pasukan penyiasat telah menjalankan penilaian melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta menghubungi Pejabat Laut Wilayah Timur untuk melaksanakan langkah kawalan bagi mengelakkan sebarang kebocoran atau limpahan minyak berlaku.

Status kapal tersebut adalah dalam tahanan Jabatan Laut Wilayah Timur melalui Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2023 dan pihak JAS telah meminta Jabatan Laut Malaysia untuk menunda kapal tersebut ke kawasan pelabuhan Kemaman serta oil boom perlu dipasang sebagai langkah kawalan pencemaran minyak sekiranya berlaku tumpahan minyak.

JAS menyeru kepada orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar menerusi talian 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-melkan aduan tersebut di [email protected] melalui portal e-aduan JAS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.