30 Januari 2024, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Siasatan awal Jabatan Mineral Geosains Malaysia (JMG) mendapati bahawa punca kejadian gelongsoran tanah yang berlaku di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang pada 26 Januari 2024 jam 2.51 pagi disebabkan oleh hujan yang berterusan.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan, hujan berterusan yang bermula pada jam 3.00 petang, 24 Januari 2024 dengan jumlah kumulatif hujan harian mencapai 126 milimeter pada 25 Januari 2024 telah menyebabkan cerun semula jadi yang berkecuraman tinggi yang didasari batuan granit (lebih daripada 35 darjah) cenderung untuk runtuh.

NRES melalui JMG mengesyorkan pihak berkuasa tempatan agar mengambil kira input Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dalam perancangan pembangunan dan pengawalseliaan aktiviti kelestarian pertanian di kawasan bercerun bagi mengelakkan risiko kejadian bencana geologi tanah runtuh.

Selain itu, NRES juga akan mengkaji kesesuaian pemasangan sistem amaran awal seperti tolok hujan secara komprehensif, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti berkerentanan tinggi tanah runtuh yang dijangka akan disiapkan pada hujung tahun 2024 di tujuh buah kawasan terpilih.

Pihak JMG akan memperluas dan mengemas kini peta berkaitan melalui PBRC dalam menyalurkan maklumat berkenaan dengan kawasan potensi bahaya tanah runtuh kepada pihak berkepentingan dari semasa ke semasa.

NRES turut komited terhadap aktiviti penyelidikan dan penggunaan teknologi tinggi terkini dalam mengenal pasti serta pemantauan kawasan panas bencana geologi.

NRES juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi teknikal untuk memperluas program pengurusan risiko bencana melibatkan komuniti kepada penduduk kawasan sekitar bagi meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap bahaya bencana geologi tanah runtuh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.