24 Januari 2024, 18:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Dalam usaha meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan risiko kebantutan dan malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas, Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Enam telah mengadakan Program Sihat Bersama-sama Anak Cilik bagi memberikan maklumat berkaitan dengan pemakanan yang seimbang secara interaktif.

Program komuniti tersebut melibatkan pelajar tahun tiga Program Dietetik, UKM, pensyarah dan warga SK Jalan Enam termasuklah guru, murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan penjaga murid.

“Saya amat mengalu-alukan pihak UKM untuk menganjurkan program pemakanan yang sangat bermakna ini pada masa akan datang bukan sahaja melibatkan kanak-kanak berkeperluan khas, malah warga SK Jalan Enam seperti guru dan murid yang obesiti,” ujar Guru Besar SK Jalan Enam, Puan Merianah Jamaludin.

Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian hasil penilaian status pemakanan murid PPKI seperti status berat badan, ketinggian, pengetahuan dan tabiat pemakanan.

Menurut salah seorang penjaga murid PPKI, sesi perkongsian seumpama ini adalah penting kerana dapat menitikberatkan isu pemakanan kanak-kanak dan tabiat pemakanan yang sepatutnya diamalkan.

Aktiviti interaktif pendidikan pemakanan dirangka berdasarkan penilaian status pemakanan yang telah dijalankan sebelum program berlangsung dan hasil penilaian mendapati bahawa murid PPKI kurang gemar mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan tetapi kerap mengambil makanan terproses serta makanan dan minuman manis.

“Program kerjasama antara universiti dengan sekolah perlu diteruskan pada masa hadapan untuk memastikan komuniti setempat seperti sekolah memperoleh manfaat daripada hasil penyelidikan universiti,” kata Pensyarah Program Dietetik, UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Roslee Rajikan.

Dalam program tersebut, aktiviti interaktif seperti “Mystery Taste” bertujuan memperkenalkan sayur-sayuran dan buah-buahan dengan pelbagai tekstur dan rasa serta menggalakkan penerimaan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.

Permainan “Mystery Taste” dijalankan untuk menarik minat murid PPKI mencuba tekstur dan rasa sayur-sayuran dan buah-buahan.

Selain itu, aktiviti “Sugar Bomb” pula bermatlamat memberikan kesedaran kepada murid PPKI tentang pemilihan makanan atau minuman yang mempunyai kandungan gula yang lebih rendah serta mendidik mereka untuk membezakan antara makanan dan minuman yang tinggi atau rendah gula.

Aktiviti “Sugar Bomb” mendidik murid PPKI mengenai kandungan gula dalam makanan dan minuman.

Bukan itu sahaja, bengkel pemakanan sihat yang melibatkan ibu bapa bagi kanak-kanak berkeperluan khas juga dilaksanakan bagi menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada ibu bapa dalam mengubah suai makanan yang biasa dimakan oleh anak mereka dan menggalakkan pengambilan air, sayur-sayuran dan buah-buahan dalam setiap hidangan makanan.

Pelajar tahun tiga Program Dietetik, UKM sedang membantu murid PPKI menyediakan vietnamese roll.

Program tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan dan memberikan impak yang positif melalui peningkatan kesihatan dari segi pemakanan serta kesedaran mengenai pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pada setiap hari.

Demonstrasi buatan sendiri nuget sihat campuran ayam dan sayur-sayuran hasil inovasi daripada pelajar tahun tiga Program Dietetik, UKM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.