23 Januari 2024, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Dalam usaha memastikan sistem penyampaian maklumat antara kerajaan dengan rakyat dapat dipertingkat, Kerajaan Negeri Melaka telah mengambil langkah menaik taraf portal rasmi Kerajaan Negeri Melaka kepada versi 6.0.

Dalam ucapan perasmian Majlis Amanat Tahun Baharu 2024, Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, portal yang kini berwajah baharu versi 6.0 itu dibangunkan dengan menggunakan kepakaran dalaman Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Melaka.

Menurut beliau, portal berkenaan merupakan saluran utama bagi penyampaian maklumat dan perkhidmatan kepada rakyat yang telah melalui beberapa fasa evolusi sejak tahun 2000.

Antara pembaharuan portal rasmi versi 6.0 yang telah dinaik taraf termasuklah ciri keselamatan portal yang membolehkan orang ramai mendapatkan semua pautan media sosial wakil rakyat kerajaan di portal ini dan memberikan cadangan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan organisasi.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga telah mewujudkan akaun rasmi TikTok sebagai medium hebahan rasmi utama selain Facebook kerajaan negeri.

Dalam hal ini, kerajaan negeri juga akan mewujudkan inisiatif menerusi e-mel domain melaka.my untuk rakyat Melaka dan e-mel tersebut bakal memberikan manfaat kepada semua pihak termasuklah pelajar institusi pengajian tinggi awam, institusi pengajian tinggi swasta, sekolah menengah dan belia.

Ketua Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri diharapkan dapat menyelaras inisiatif e-mel kepada rakyat, telegram dan portal data asas untuk rakyat bersama-sama pihak yang berkaitan dengan segera.

Orang awam boleh melayari portal rasmi Kerajaan Negeri Melaka yang baharu bagi mendapatkan maklumat terkini, pengumuman, kalendar aktiviti kerajaan negeri, kluster perkhidmatan rakyat dan e-pertanyaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.