17 Januari 2024, 14:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung Malaysia dan di Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan media, struktur dan komponen tarif di bawah TSM akan diseragamkan di negeri yang terlibat dan tarif air juga akan dikaji semula pada setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Dalam memastikan kemampanan industri perkhidmatan air tidak terjejas dalam jangka masa panjang sekali gus memberikan impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat, pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak boleh ditangguhkan.

Pelarasan tarif air tersebut juga mencerminkan kos bekalan air yang sangat penting bagi membolehkan operator air dapat meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan.

Menurut SPAN, melalui semakan tarif berkenaan, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air sekali gus memenuhi jangkaan pengguna.

Pelarasan tarif air domestik mulai 1 Februari ini melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu dan kenaikan tersebut sebenarnya masih rendah serta tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod pada tahun 2022.

SPAN turut memaklumkan bahawa pelarasan tarif air tersebut adalah berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun kerajaan persekutuan melalui SPAN akan melakukan pemantauan bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.

Selain itu, operator bekalan air di negeri masing-masing disarankan untuk meneruskan inisiatif sedia ada, iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40 bagi meminimumkan impak kenaikan terhadap bil air bulanan rakyat.

SPAN turut menyeru semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat dengan menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN, memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing serta memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.