15 Januari 2024, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari mengetuai delegasi DBP dalam kunjungan hormat kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki di Pejabat Pengerusi MARA pada pagi ini untuk meneroka potensi kerjasama dalam pembekalan bahan bacaan terbitan DBP, khususnya majalah untuk diedarkan kepada 57 buah Maktab Rendah Sains MARA di seluruh Malaysia.

Menurut Dr. Hazami Jahari, DBP merakamkan penghargaan atas dedikasi MARA terhadap pembangunan pendidikan sains dalam kalangan bumiputera dan berharap agar bahan bacaan yang diterbitkan oleh DBP dapat dimanfaatkan oleh pelajar MRSM dalam membantu MARA meningkatkan pembangunan pelajar.

Kami yakin bahawa majalah Dewan Kosmik, satu-satunya majalah sains dan teknologi berbahasa Melayu di Malaysia ini mampu menjadi bahan bacaan tambahan dan sokongan pembelajaran yang berkualiti kepada pelajar MRSM bagi meningkatkan lagi minat pelajar dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik di negara ini.

DBP juga menawarkan ruang kerjasama dengan MARA dalam pembangunan kandungan majalah yang bersesuaian dengan keperluan pelajar MRSM di samping penyediaan ruangan dalam majalah terbitan DBP untuk guru dan pelajar mengasah serta mengembangkan bakat dalam bidang penulisan.

“Kami juga amat mengalu-alukan guru dan pelajar untuk berkarya dan menerbitkan hasil karya mereka dalam majalah terbitan DBP. Usaha ini secara tidak langsung akan mengembangkan bakat penulisan dan sekali gus melahirkan pelajar yang mempunyai pemikiran kritis, kreatif, dan inovatif,” jelas Dr. Hazami lagi.

Dr. Hazami Jahari memberikan penerangan ringkas tentang majalah terbitan DBP kepada YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.

Berkaitan dengan penganjuran aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan, Dr. Hazami Jahari menjelaskan bahawa DBP ingin mencadangkan pelaksanaan program baharu seperti pidato dan forum pelajar serta aktiviti pelestarian pantun untuk digiatkan dalam kalangan institusi pendidikan MARA.

Sebelum ini, DBP bekerjasama dengan MARA dalam penganjuran program Debat MRSM Se-Malaysia Piala Timbalan Perdana Menteri bagi mencungkil bakat pelajar dalam komunikasi dan melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi serta mampu melontarkan idea bertaraf global.

Sementara itu, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki turut menyatakan kerisauan tentang budaya membaca dalam kalangan pelajar pada masa ini yang semakin pudar.

Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.

“Generasi muda pada hari ini lebih menggemari teknologi gajet dan maklumat yang bersifat visual seperti video di halaman media sosial berbanding dengan membaca bahan bacaan yang berkualiti. Oleh sebab itu, usaha menggiatkan budaya membaca oleh pihak DBP amat kami hargai dan alu-alukan demi kepentingan pelajar di bawah kelolaan MARA.”

Menurut Pengerusi MARA itu lagi, pihak MARA berbesar hati untuk mengimarahkan aktiviti debat dan pidato dalam kalangan pelajar di institusi pendidikan MARA.

Pemimpin pada hari ini terdiri dalam kalangan pendebat dan pemidato hebat. Saya melihat aktiviti debat dan pidato menjadi medan terbaik dalam pembentukan modal insan pelajar dan pelapis kepimpinan negara.

 

MARA menyambut hasrat DBP untuk bekerjasama dengan DBP dalam projek penerbitan dan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan yang melibatkan pelajar, guru dan pensyarah institusi pendidikan MARA.

Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat ini ialah ahli pengurusan MARA, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Puan Huznah Sait dan pegawai-pegawai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.