Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJeli – Pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular atau Jambatan Bailey di Jalan Dabong–Jeli Kelatan telah mula digerakkan pada 3 Januari lalu sebagai usaha memastikan jaringan jalan sentiasa terhubung.
Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi turut turun meninjau pemasangan jambatan tersebut selain melakukan tinjauan di beberapa lokasi laluan persekutuan yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir seperti di Jalan Raya Persekutuan FT2750 (Jalan Berdang–Sungai Rual), FT008 (Jalan Gua Musang–Kota Bharu) dan FT185 (Jalan Lojing–Gua Musang).
Pada 1 Januari 2024 lalu, berlaku kegagalan pembetung corrugated metal pipe (CMP) di FT66 seksyen 73.85 Jalan Dabong–Jeli, Kelantan dan mengakibatkan laluan tersebut terputus sepenuhnya.
Kerja pemasangan Jambatan Bailey telah mula diatur gerak pada 3 Januari lalu bagi memindahkan stok Jambatan Bailey model Acrow XS700 jenis single lane-extra wide dengan kelebaran 4.2 meter sepanjang 100 kaki milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ke lokasi berkenaan.
Sebanyak 40 orang pegawai dari Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Jajahan Machang, Kelantan, JKR Daerah Temerloh, Pahang dan JKR Daerah Kinta, Perak terlibat dalam pasukan pemasangan jambatan tersebut.
Kerja pemasangan jambatan yang telah dimulakan pada 5 Januari lalu dijangka akan mengambil masa lima hari bergantung pada faktor cuaca dan akan dibuka kepada kenderaan ringan sahaja setelah selesai pemasangannya.
Pada masa yang sama, JKR Malaysia juga dalam proses menyediakan reka bentuk pembetung dengan anggaran kos berjumlah RM700 ribu bagi melaksanakan kerja pembaikan kekal di lokasi tersebut.
Selari dengan kempen MYjalan yang telah dilancarkan oleh KKR dalam meningkatkan kesedaran semua pihak agar bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keselesaan semasa menggunakan jalan raya, KKR sentiasa komited untuk memastikan jaringan laluan persekutuan akan kekal terhubung selepas fasa bencana ini.