20 Disember 2023, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Linggi – Parlimen Masjid Tanah telah dipilih sebagai lokasi pertama di Malaysia bagi menjalankan inisiatif Kampung Digital.

Pada 7 April lalu, Kerajaan Negeri Melaka telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif Kampung Digital sebagai langkah progresif dalam memodenkan komuniti kampung di negeri ini selaras dengan matlamat kerajaan negeri berkenaan untuk meningkatkan kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi dalam kalangan penduduk kampung.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pemilihan kawasan tersebut akan menjadi perintis dalam pelaksanaan Kampung Digital sebelum diperluas ke setiap daerah di Melaka.

YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyantuni peserta gotong-royong selepas merasmikan Program Gotong-royong MADANI 2023 di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru.

“Inisiatif ini dibangunkan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam melahirkan “masyarakat digital” seiring dengan peredaran zaman sekali gus akan menjadikan seluruh kampung ini sebagai Kampung Digital dan Masjid Tanah menjadi parlimen perintis bukan sahaja di Melaka, malah di seluruh Malaysia,” kata YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Gotong-royong MADANI 2023 di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, hari ini.

Dalam program yang disertai oleh hampir 1500 orang peserta yang terdiri daripada penduduk setempat, para pelajar dan agensi penguat kuasa itu, semua peserta saling bekerjasama bergotong-royong membersihkan tiga zon pantai sejauh lebih kurang lima kilometer di kampung berkenaan.

Sebahagian daripada agensi dan peserta yang menyertai Program Gotong-royong Madani 2023.

Jelas YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Parlimen Masjid Tanah akan mendigitalkan beberapa buah kampung lain bermula dari Kampung Jeram hingga sebelah Kuala Linggi dan kesemua kampung tersebut akan dijadikan sebagai kampung perintis kepada pelaksanaan Kampung Digital.

Hal ini adalah selari dengan peredaran zaman kerana ibu bapa di kampung mampu berhubung dengan anak mereka di luar negara, namun apabila menyentuh isu sistem penghantaran rumah ke rumah, kita masih berada pada taraf zaman sebelum merdeka.

Tambah beliau, beberapa kampung lain akan turut menerima inisiatif yang sama, iaitu dua kampung di kawasan Merlimau dan dua lagi di Dewan Undangan Negeri Paya Rumput.

Mengulas lebih lanjut, inisiatif yang diperkenalkan ini sekali gus mampu mempertingkat mutu kehidupan dan penyampaian mesej kerajaan kepada rakyat dan pelbagai lagi kaedah akan dilaksanakan dalam usaha memartabatkan penduduk kampung supaya seiring dengan kemajuan yang lebih pantas.

Dengan pelaksanaan Kampung Digital tersebut, rakyat di Melaka akan mendahului dan menerajui seluruh kampung di negara ini untuk menjadi “masyarakat digital.

Turut serta dalam program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, Yang Berhormat Rosli Abdullah, Pegawai Khas Pejabat Perdana Menteri, Encik Muhammad Fikri Abdul Aziz, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Tuan TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Sabrina Thalas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.