16 Disember 2023, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis, Kampus Arau berjaya membawa pulang dua anugerah emas, empat anugerah perak dan lapan anugerah gangsa dalam pameran dan pertandingan inovasi, Invention Innovation and Design Exposition 2023 (IIDEX2023) yang diadakan di Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

Kontinjen UiTM Cawangan Perlis bergambar sejurus selesai menyiapkan bahan pameran di ruang reruai masing-masing di Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

IIDEX merupakan sebuah platform berprestij kepada penyelidik UiTM untuk membentangkan ciptaan atau inovasi mereka dalam bidang berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan termasuklah farmasi, sains kesihatan, perubatan, kosmetik, nutraseutikal, agroteknologi dan bioteknologi sekali gus mengkomersialkan 364 produk inovasi yang dipamerkan dalam siri pada kali ini ke peringkat dunia.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman bergambar bersama-sama kontinjen UiTM Cawangan Perlis.

Kontinjen UiTM Cawangan Perlis diwakili oleh tiga fakulti, iaitu Fakulti Sains Gunaan yang diwakili oleh YBrs. Dr. Zuliahani Ahmad, YBrs. Dr. Faiezah Hashim, YBrs. Dr. Nabilah Akemal Muhd Zailani, Puan Zainab Razali dan Gs. Sharir Aizat Kamaruddin.

YBrs. Dr. Zuliahani Ahmad membuat pembentangan bagi sesi penjurian Kategori Kontinjen Terbaik di hadapan dua juri industri.

Kolej Pengajian Pengkomputeran Informatik dan Matematik pula diwakili oleh YBrs. Ts. Dr. Siti Zulaiha Ahmad, YBrs. Ts. Dr. Norziana Yahya, YBrs. Dr. Aznoora Osman dan Encik Mohammad Hafiz Ismail, manakala YBrs. Dr. Hasyeilla Abd Mutalib mewakili Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

Kontinjen UiTM Cawangan Perlis menyantuni kehadiran juri dan pengunjung ke reruai masing-masing.

Sejajar dengan aspirasi Globally Renowned University 2025 dan menyokong agenda ekonomi Malaysia MADANI sekali gus bagi mencapai aspirasi dan lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2013–2025, UiTM Cawangan Perlis sentiasa cakna dalam menyokong usaha warganya mencipta dan mempamerkan pelbagai produk inovasi pada peringkat antarabangsa dan terus menyemarakkan aktiviti pengkomersialan produk yang bermutu tinggi.

Sebahagian daripada ahli kontinjen UiTM Cawangan Perlis bergambar sebagai tanda kenang-kenangan sepanjang IIDEX2023 berlangsung.

Turut serta dalam program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, rakan strategik dari pelbagai industri, para pelajar sekolah, pelajar pascasiswazah dan siswazah serta penyelidik luar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.