14 Disember 2023, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kelahiran cahaya mata merupakan saat gembira yang dinantikan-nantikan oleh setiap ibu bapa. Untuk memastikan anak-anak membesar dengan sihat, bayi diberikan susu, sama ada susu formula ataupun susu ibu agar mereka menerima nutrisi yang mencukupi dalam proses tumbesaran.

Namun demikian, sekiranya bayi mengalami masalah seperti cirit-birit, menangis berterusan atau hilang selera selepas diberikan susu, maka ibu bapa perlu memberikan tumpuan terhadap situasi ini kerana berkemungkinan hal tersebut berlaku disebabkan oleh intoleransi laktosa.

Memahami Laktosa dan Kebaikannya

Laktosa merupakan karbohidrat utama di dalam susu badan manusia serta susu lembu yang terdapat dalam produk tenusu lain seperti keju dan yogurt. Laktosa yang dimakan oleh manusia perlu diuraikan melalui proses hidrolisis oleh enzim laktase yang terikat pada membran usus kecil sebelum diserap.

Sebenarnya, bayi yang masih kecil tidak menyerap semua laktosa yang dicerna daripada susu ibu, yakni kurang daya serap laktosa secara fisiologi. Laktosa yang tidak diserap ini kemudiannya diperam di dalam kolon menjadi asid lemak rantaian pendek, hidrogen, karbon dioksida dan metana. Laktosa juga ditukar kepada asid laktik oleh bakteria enterik seperti Streptococcus lactis dan menjadi prebiotik dalam usus.

Peningkatan bilangan bakteria usus baik, iaitu Bifidobacteria dan kepekatan asid lemak rantaian pendek memberikan kesan perlindungan yang penting terhadap integriti mukus kolon dan bermanfaat untuk perkembangan imun awal bayi.

Individu Terjejas

Bayi yang baru lahir secara semula jadi menghasilkan laktase yang mencukupi untuk mencerna kira-kira satu liter susu ibu pada setiap hari. Dalam kebanyakan populasi, paras laktase akan menurun selepas tempoh bercerai susu (laktase tidak kekal). Sebanyak 70 peratus daripada populasi dunia dipengaruhi oleh laktase tidak kekal yang menyebabkan keadaan intoleransi laktosa primer. Intoleransi laktosa primer tidak berlaku kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Tambahan pula, intoleransi laktosa pada kanak-kanak biasanya disebabkan oleh masalah lain pada usus seperti jangkitan usus, alahan terhadap susu lembu, penyakit seliak atau penyakit radang usus. Pada kebiasaannya, intoleransi laktosa pada kanak-kanak bersifat sementara dan akan hilang secara beransur-ansur apabila keadaan patologi usus semakin baik.

Berdasarkan satu kajian, anggaran peratus kelaziman berlakunya intoleransi laktosa primer yang disebabkan oleh laktase tidak kekal ialah dua peratus hingga lima peratus di Eropah Utara seperti di Skandinavia, Jerman dan Great Britain, 17 peratus di Finland dan Perancis Utara, 50 peratus di Amerika Selatan dan Afrika, manakala Asia Tenggara mencatatkan antara 90 peratus hingga 100 peratus.

Simptom Intoleransi Laktosa

Kanak-kanak yang mengalami intoleransi laktosa mempunyai satu atau lebih gejala usus atau luar usus apabila mengambil makanan yang mengandungi laktosa. Antara gelaja yang dialami termasuklah mengalami ketidakselesaan pada perut, kembung perut, kentut dan/atau cirit-birit. Lazimnya, gejala bermula kira-kira 30 minit hingga dua jam selepas pengambilan makanan.

Selain itu, najis kanak-kanak juga menunjukkan pH yang rendah, yakni kurang daripada 5.5 dan berlaku kerengsaan kulit pada bahagian perianal serta pengelupasan pada kulit di sekeliling dubur.

Pada kebiasaannya, keadaan ini berlaku selepas kanak-kanak mengalami gastroenteritis akut, iaitu kanak-kanak tidak mampu mencerna laktosa untuk sementara waktu. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh menyusu seperti biasa kecuali apabila berlaku simptom yang teruk seperti ekskoriasi perianal yang memerlukan mereka berhenti menyusu buat seketika. Namun demikian, ibu boleh meneruskan memerah susu badan bagi mengekalkan laktase.

Bayi yang mengalami intoleransi laktosa sementara boleh diberikan susu formula bebas laktosa atau susu soya selama satu minggu hingga dua minggu sehingga keadaan mereka bertambah baik.

Intoleransi laktosa biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang mencapai usia lima tahun, namun tidak mustahil keadaan ini boleh berlaku kepada kanak-kanak seawal usia dua tahun. Apabila hal ini berlaku, simptom yang dialami hanya boleh dikawal dengan mengehadkan pengambilan laktosa dalam diet. Oleh sebab itu, ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa peka akan keperluan pemakanan anak masing-masing.

Mengurus Diet Intoleransi Laktosa

Kanak-kanak yang menunjukkan simptom intoleransi laktosa hanya boleh diberikan produk tenusu yang mengandungi laktosa lebih rendah secara semula jadi. Selepas mengehadkan pengambilan makanan berlaktosa dalam tempoh tertentu, kanak-kanak boleh mengambil semula makanan dan minuman yang mengandungi laktosa dalam jumlah yang kecil.

Gejala penolakan terhadap laktosa perlu diberikan perhatian sepanjang tempoh percubaan ini. Selepas beberapa ketika, ibu bapa atau kanak-kanak itu sendiri akan dapat mengetahui jumlah laktosa yang boleh diambil dalam pemakanan mereka.

Di samping itu, ibu bapa juga harus mempertimbangkan untuk menggunakan enzim laktase yang boleh diambil sebelum pengambilan produk tenusu bagi mengurangkan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Kanak-kanak dengan intoleransi laktosa perlu mengambil produk tenusu dalam diet mereka walaupun kuantiti yang diambil adalah minimum. Hal ini dikatakan demikian kerana susu dan pelbagai produk tenusu lain merupakan sumber utama yang mengandungi kalsium dan vitamin D.

Oleh hal yang demikian, adalah penting untuk memastikan kanak-kanak yang mempunyai limitasi terhadap produk tenusu untuk mengambil makanan bukan tenusu lain yang kaya dengan nutrien seperti ikan bertulang lembut, misalnya salmon dan sardin serta sayur-sayuran berdaun hijau. Kanak-kanak juga memerlukan suplemen kalsium dan vitamin D untuk menguatkan tulang semasa proses tumbesaran mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.