Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia sedang melalui satu perubahan demografi yang besar. Bilangan penduduk berusia 65 tahun ke atas terus meningkat setiap tahun dan negara dijangka mencapai status negara menua menjelang tahun 2030. Statistik menunjukkan peratusan warga emas meningkat daripada sekitar tujuh peratus kepada lebih 7.3 peratus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan jutaan individu. Peningkatan ini bukan sekadar angka, sebaliknya membawa implikasi besar terhadap struktur sosial, ekonomi dan sistem kesihatan negara.
Di sebalik kemajuan dan peningkatan jangka hayat, tersembunyi satu isu yang sering tidak dibincangkan secara terbuka, iaitu penderaan warga emas. Apabila populasi warga emas meningkat, risiko berlakunya penderaan terhadap golongan ini turut meningkat, menjadikan isu ini semakin mendesak untuk diberikan perhatian serius.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mentakrifkan penderaan warga emas sebagai satu perbuatan tunggal atau berulang, atau kegagalan mengambil tindakan yang sepatutnya, yang berlaku dalam hubungan berasaskan kepercayaan dan menyebabkan kemudaratan atau penderitaan kepada individu berusia. Takrif ini jelas menunjukkan bahawa penderaan bukan sahaja merujuk tindakan fizikal, tetapi juga kegagalan melindungi dan menjaga kebajikan warga emas.
Penderaan warga emas boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi, penderaan kewangan dan pengabaian. Antara bentuk penderaan yang paling kerap berlaku termasuklah penderaan emosi dan pengabaian, yang sering dianggap ringan, tetapi memberikan kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental dan psikologi warga emas.
Pada peringkat global, penderaan warga emas diiktiraf sebagai masalah kesihatan awam yang serius. Dianggarkan ratusan juta warga emas di seluruh dunia akan mengalami penderaan menjelang pertengahan abad ini. Dalam persekitaran komuniti, kajian menunjukkan bahawa kira-kira seorang daripada enam individu berusia 60 tahun ke atas pernah menjadi mangsa penderaan dalam tempoh setahun.
Walaupun angka ini membimbangkan, realiti sebenar dipercayai lebih tinggi kerana terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan. Penderaan warga emas sering berlaku dalam hubungan rapat seperti dalam keluarga atau melibatkan penjaga, menyebabkan mangsa berasa takut, malu atau terlalu bergantung untuk tampil membuat laporan.
Di Malaysia, situasi ini tidak terkecuali. Kajian menunjukkan bahawa sebahagian warga emas pernah mengalami penderaan, dengan pengabaian dikenal pasti sebagai bentuk penderaan paling lazim. Namun demikian, hanya sebilangan kecil mangsa mendapatkan bantuan atau melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa atau profesional kesihatan.
Satu daripada cabaran terbesar dalam menangani penderaan warga emas ialah sifatnya yang tersembunyi. Banyak kes berlaku dalam persekitaran rumah yang melibatkan ahli keluarga sendiri. Dalam masyarakat yang menekankan nilai kekeluargaan dan keharmonian, penderaan sering dianggap sebagai urusan dalaman yang tidak wajar dicampuri oleh pihak luar.
Tambahan pula, warga emas sering bergantung pada penjaga dari segi fizikal, emosi dan kewangan. Kebergantungan ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada penderaan dan pada masa yang sama kurang berupaya untuk mempertahankan diri atau mendapatkan bantuan.
Situasi ini menjadi lebih kritikal ketika krisis seperti pandemik COVID-19, apabila tekanan ekonomi dan emosi meningkat. Kekangan pergerakan, pengasingan sosial dan tekanan kewangan dilaporkan menyumbang kepada peningkatan kes penderaan warga emas dalam tempoh tersebut.
Selain faktor struktur keluarga dan kebergantungan, tahap pengetahuan dan sikap masyarakat turut mempengaruhi keberkesanan pencegahan penderaan warga emas. Kajian mendapati bahawa masih banyak individu yang tidak memahami sepenuhnya maksud penderaan warga emas dan jenisnya. Kebanyakannya menganggap penderaan hanya berlaku apabila terdapat keganasan fizikal, sedangkan penderaan emosi, kewangan dan pengabaian lebih kerap berlaku.
Kekeliruan ini menyebabkan penderaan sering tidak dikenal pasti, apatah lagi dilaporkan. Malah, terdapat kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak untuk menyalahkan warga emas atas penderaan yang dialami, dengan mengaitkannya kepada sikap cerewet, kebergantungan atau tingkah laku mereka sendiri.
Sikap sebegini amat membimbangkan kerana menormalisasikan penderaan dan melemahkan usaha intervensi awal. Walaupun penderaan warga emas diakui sebagai isu serius, pengakuan ini tidak selalu diterjemahkan kepada sikap empatik dan tindakan yang proaktif.
Pelbagai kajian menunjukkan bahawa faktor pendidikan, pendapatan dan tekanan hidup turut mempengaruhi sikap terhadap penderaan warga emas. Individu yang mempunyai akses kepada maklumat dan sokongan sosial cenderung lebih prihatin dan bersedia bertindak. Sebaliknya, tekanan ekonomi dan kekangan sumber boleh mendorong sikap menyalahkan mangsa atau memandang ringan penderaan sebagai sesuatu yang “tidak dapat dielakkan”.
Yang menariknya, sikap terhadap penderaan warga emas tidak semestinya ditentukan oleh umur, jantina atau tahap pendidikan semata-mata. Sikap ini terbentuk melalui gabungan pengalaman hidup, norma budaya, nilai masyarakat dan pendedahan kepada maklumat.
Dalam masyarakat yang semakin menua, isu penderaan warga emas tidak boleh terus dibiarkan sebagai isu senyap. Pendidikan awam dan kempen kesedaran perlu diperkukuh untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang penderaan warga emas, tanda-tandanya dan kepentingan pelaporan.
Media, institusi pendidikan, komuniti dan sektor kesihatan mempunyai peranan penting dalam membentuk sikap masyarakat. Penderaan warga emas perlu dilihat sebagai isu kemanusiaan dan tanggungjawab bersama, bukan sekadar masalah keluarga atau individu tertentu.
Kesimpulannya, peningkatan bilangan warga emas menuntut perubahan cara masyarakat melihat dan melindungi golongan ini. Penderaan warga emas bukan sekadar isu kesihatan atau kebajikan, tetapi cerminan nilai moral dan kemanusiaan sesebuah masyarakat.
Selagi sikap memandang ringan, menyalahkan mangsa dan berdiam diri masih wujud, selagi itulah penderaan akan terus berlaku dalam diam. Hanya dengan pengetahuan yang tepat, sikap empatik dan tanggungjawab bersama, warga emas dapat dilindungi dan dihormati sebagai insan yang telah menyumbang kepada pembinaan masyarakat dan negara.