12 Disember 2023, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pendaftaran MyDigital ID sebagai kaedah yang memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan digital dan memperkukuh keselamatan transaksi dalam talian akan dibuka kepada umum pada Mac 2024.

Sejajar dengan visi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi demi memperkasakan rakyat, pelaksanaan MyDigital ID menandakan satu langkah penting ke arah persekitaran digital yang lebih mesra pengguna dan selamat.

Inisiatif baharu daripada MIMOS Berhad, iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta di bawah pengawasan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu membolehkan rakyat mengakses pelbagai platform digital kerajaan dengan lancar.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MOSTI, individu boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan tanpa menghadapi kerumitan log masuk berbilang dengan adanya penyepaduan proses pengesahan dalam talian menerusi MyDigital ID ini sekali gus memudahkan interaksi digital dengan agensi kerajaan.

Selain itu, melalui sistem berasaskan kriptografi yang terjamin keselamatannya dan diperakui Pensijilan Kriteria Umum yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, penggunaan MyDigital ID pada portal kerajaan dapat menjamin transaksi yang selamat.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa rakyat boleh melibatkan diri dalam aktiviti dalam talian dengan yakin kerana MyDigital ID memiliki ciri keselamatan yang kukuh dalam melindungi maklumat walaupun aplikasi ini mengandungi identiti digital rakyat, namun terikat secara kriptografi (teknologi yang sangat selamat).

MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik seperti cap jari, maklumat mata atau pengecaman muka serta tidak menggunakan sebarang cip atau implan.

MyDigital ID juga tidak mengumpul, memantau atau menyimpan pangkalan data peribadi mahupun aktiviti pengguna dalam talian, tidak mendedahkan data peribadi secara terbuka, tidak membolehkan pengguna memiliki lebih daripada satu identiti digital serta tidak berfungsi sebagai pengganti MyKad untuk bukti pengenalan.

Sistem bersatu tersebut bukan sahaja memudahkan pengalaman pengguna, malah mengutamakan perlindungan maklumat sensitif di samping mengukuhkan kepercayaan pengguna terhadap infrastruktur digital berkenaan.

Maklumat pendaftaran dan lokasi kios pendaftaran akan disenaraikan dalam laman sesawang MyDigital ID dan orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan MyDigital ID boleh menghantar e-mel ke [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.