11 Disember 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2023 yang bertemakan “Meraikan Kepelbagaian dan Keterangkuman Orang Kurang Upaya” telah disertai oleh golongan OKU, pertubuhan bukan kerajaan, wakil dari Persatuan OKU di seluruh Malaysia serta orang awam.

Program anjuran Pusat Rehabilitasi dan Keperluan Khas, FSK, UKM ini diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UKM (UPS-OKU), Pertubuhan Keselamatan Sosial, Jabatan Penerangan Malaysia dan DBKL.

“Masyarakat seharusnya menzahirkan semangat keterangkuman terhadap OKU dengan memberikan galakan kepada golongan ini agar mereka dapat mendepani cabaran dalam membangunkan negara di samping menjalani kehidupan harian dengan baik dan bukan hanya sekadar berkata-kata,” kata Ahli Dewan Negara (wakil OKU), Yang Berhormat (YB) Senator Tuan Isaiah D. Jacob ketika berucap dalam majlis perasmian program berkenaan.

YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob (kiri) ketika merasmikan Sambutan Hari OKU FSK 2023.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin menyatakan bahawa UKM mempunyai sebanyak 114 orang warga OKU yang terdiri daripada 48 orang pekerja dan 66 orang pelajar dan pihaknya sentiasa komited bagi menyokong setiap agenda, terutamanya dalam usaha memperkasakan golongan OKU.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin.

Hampir 300 orang peserta yang terdiri daripada golongan OKU pendengaran, penglihatan, fizikal dan masalah pembelajaran menyertai aktiviti menarik yang diadakan sepanjang program tersebut berlangsung seperti Fun Run Walk and Wheel.

Peserta Fun Run Walk and Wheel yang disertai oleh golongan OKU pelbagai kategori.
Semangat keterangkuman dan sokongan kepada golongan OKU wajar dizahirkan oleh segenap lapisan masyarakat.
Nurul Ashikin Abd. Kadir.

Peserta yang menyertai Fun Run Walk and Wheel, Nurul Ashikin Abd. Kadir berkata, aktiviti seumpama ini merupakan satu peluang yang amat baik bagi dirinya untuk mendekati golongan OKU.

Pada masa yang sama, program tersebut turut diserikan dengan pertandingan OKU Got Talent yang menampilkan persembahan daripada enam orang peserta yang berjaya ke peringkat akhir dalam pertandingan tersebut.

 

Pertandingan OKU Got Talent dimenangi oleh pelajar Program Pemulihan dalam Komuniti (OKU pembelajaran) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.