5 Disember 2023, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Selaras dengan Ekonomi MADANI dalam meneruskan aspirasi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui aktiviti pembangunan produk berkaitan dengan sektor agrikomoditi, Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) telah dilancarkan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sektor berkenaan.

Pelancaran HAKN yang bertemakan “Memacu Kemampanan Agrikomoditi Negara” itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Sambutan HAKN merupakan satu daripada inisiatif oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang turut bermatlamat mewujudkan platform perkongsian maklumat serta pencambahan idea baharu semua pihak berkepentingan dalam sektor agrikomoditi negara.

Pada masa yang sama, sesi penyampaian Anugerah Agrikomoditi Negara kepada enam sektor agrikomoditi yang merangkumi sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf telah diadakan semasa sambutan HAKN itu.

Selain itu, terdapat juga sesi penyampaian anugerah kepada individu dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam sektor agrikomoditi negara sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan oleh kerajaan, misalnya penganugerahan Tokoh Industri Perkayuan dan Perhutanan kepada YBhg. Dato’ Dr. Freezailah Che Yeom, tokoh yang berpengalaman luas sejak 60 tahun lalu dalam industri perkayuan negara dan aktif dalam memperjuangkan agenda perhutanan yang mampan serta pensijilan.

Menerusi sambutan HAKN itu juga, golongan sasar yang terdiri daripada komuniti dan masyarakat setempat juga akan mendapat pendedahan melalui pelbagai program, inisiatif dan insentif yang ditawarkan oleh kementerian termasuklah agensi di bawahnya sekali gus membolehkan mereka untuk mendapatkan maklum balas secara terus daripada pegawai KPK dan agensi yang berkaitan dengannya.

Sementara itu, KPK turut menganjurkan Agrikomoditi Walk pada 9 Disember 2023 bersempena dengan sambutan HAKN yang dijangka akan mengumpulkan lebih daripada dua ribu orang peserta.

Dalam program santai tersebut, antara pengisian menarik yang akan diadakan ialah jalan laju sejauh lima kilometer di sepanjang Laluan Persiaran Perdana, Putrajaya dan sesi pameran daripada pelbagai agensi di bawah KPK.

Penganjuran HAKN yang disambut mulai tahun ini diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan sektor agrikomoditi dalam menjana ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.