4 Disember 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Syarahan ilmiah yang bertajuk “Cakna Ciptaan: Inspirasi Kecemerlangan” anjuran Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disampaikan oleh Profesor Emerita Dr. Norhani Mohidin berkisarkan penerokaan konsep penciptaan yang merangkumi asal usul kehidupan, aspek intelektual dan saintifik penciptaan telah meninggalkan kesan positif terhadap landskap akademik fakulti.

Program tersebut telah dihadiri oleh hampir 400 ahli akademik, kakitangan pelaksana, pelajar dan profesional lain dalam sesi secara bersemuka di FSK serta melalui platform Zoom dan Facebook rasmi FSK, UKM.

Profesor Emerita Dr. Norhani Mohidin merupakan optometris pertama di Malaysia dan antara pelopor awal bagi penubuhan FSK di UKM yang bertanggungjawab membangunkan profesion optometri di negara ini dengan termaktubnya Akta Optik 1991 dan tertubuhnya badan profesional optometri, iaitu Majlis Optik Malaysia.

Selain sumbangan beliau dalam bidang akademik pada peringkat pengajian tinggi, Profesor Emerita Dr. Norhani Mohidin juga seorang perintis “Kaedah Khalifah” yang menekankan model tarbiyah insan yang berakhlak cemerlang dan bermotivasi tinggi untuk belajar serta menyuburkan kecintaan yang mendalam terhadap al-Quran dalam kehidupan seharian.

Semasa sesi syarahan tersebut berlangsung, beliau turut mengaitkan refleksi konsep ciptaan ini dengan kehidupan dan amalan seharian sebagai pemangkin untuk menjadi khalifah yang bertanggungjawab dan mempunyai nilai murni.

Inisiatif sebegini wajar diteruskan pada masa hadapan dalam melestarikan kesarjanaan dan menerapkan budaya ilmu kepada kakitangan, pelajar dan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.