Oleh Abd Razak Osman
1 Disember 2023, 19:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM950,000 bersempena dengan Majlis Santapan Amal 2023 yang diadakan di One World Hotel, Petaling Jaya untuk membeli sebuah bas derma darah bergerak baharu bagi menggantikan bas yang lama.

Menurut Pengurus Besar YSB, Puan Misbah Dato’ Haji Abdul Hamid, banyak pihak yang tampil menghulurkan sumbangan dana bagi merealisasikan tujuan tersebut.

Sebenarnya, bas derma darah bergerak yang pertama di Malaysia telah dilancarkan pada tahun 1999 dengan kerjasama Kelab Lions Alor Setar, namun kini bas berkenaan berisiko rosak setelah digunakan di 10 buah hospital di seluruh Kedah dan Perlis serta kos pembaikannya juga tinggi.

Tambah beliau, bas derma darah bergerak itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak 5000 beg darah untuk keperluan hospital di negeri berkenaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Pada tahun 2012, YSB telah menaik taraf bas tersebut hasil sumbangan ikhlas daripada Intan Permata Properties Sdn. Bhd. dan pihak lain untuk menjayakan kempen derma darah bergerak yang dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Sultanah Bahiyah.

Terima kasih kepada semua penderma dan penaja atas sumbangan yang dihulurkan hampir mencecah satu juta itu.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi YSB, Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah menerima replika cek daripada para penderma yang terdiri daripada Yayasan Albukhary, DXN Industries (M) Sdn. Bhd, Xin Sheng Environmental (M) Sdn. Bhd, President Sign Sdn. Bhd., Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng, AJ Resorts Sdn. Bhd., Yayasan Azman Hashim, AHMS Holdings, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Encorp Berhad dan Qew Group Berhad.

Penasihat Kanan Yayasan Albukhary, Dato’ Paduka Mohd Puat Mohd Ali (kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi YSB, YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (tengah).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.