29 November 2023, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam menggerakkan usaha dan memberikan sokongan terhadap hala tuju dan strategi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyahut seruan tersebut dengan menganjurkan Program Hari Kesihatan DBP Tahun 2023 di Wisma DBP, hari ini.

Program tersebut diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja DBP, mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan kesihatan serta meningkatkan kesedaran terhadap langkah kawalan kesihatan kendiri.

“Tanggungjawab terhadap kesihatan tidak hanya terletak pada peranan pihak hospital, namun usaha yang menyeluruh perlu dilaksanakan oleh semua peringkat termasuklah melibatkan masyarakat dan kolaborasi antara agensi yang terlibat,” kata Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Hari Kesihatan DBP Tahun 2023.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Hari Kesihatan DBP Tahun 2023.

Menurut beliau, setiap individu berperanan dalam memastikan akses perkhidmatan dapat dicapai serta perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan digunakan dengan sebaik-baiknya sekali gus memperhebat usaha mempromosikan kesihatan.

Tambah beliau, Malaysia merupakan antara negara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat dengan adanya sistem yang teratur dan memiliki perkhidmatan pelbagai kepakaran.

Beliau juga menyatakan bahawa seluruh rakyat mempunyai kesaksamaan dalam mendapatkan kemudahan kesihatan di premis kesihatan sama ada kerajaan ataupun swasta yang turut memberikan sumbangan kepada peningkatan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Kita juga perlu mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan rakyat, khususnya di DBP dengan segera agar dapat memberikan impak kepada pemulihan sektor ekonomi, sosial dan sebagainya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah menyatakan bahawa program seumpama ini ialah satu daripada cara untuk mengukuhkan langkah kesihatan awam kerana penyakit tidak berjangkit dan penyakit berjangkit akan sentiasa menjadi ancaman dalam kalangan warga kerja DBP akibat cara hidup dan persekitaran yang tidak sihat.

Ucapan alu-aluan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah.

Warga DBP diharapkan tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam aktiviti yang dilaksanakan bersempena dengan Program Hari Kesihatan DBP Tahun 2023 bagi memastikan badan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan amalan ini dapat diteruskan dalam kehidupan seharian.

Ujar beliau lagi, inti pati dalam ceramah kesihatan “Menangani Tekanan di Tempat Kerja” yang disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Zaipul Hasni Mat Saleh sangat penting untuk difahami bagi menangani cabaran tekanan di tempat kerja.

YBrs. Dr. Hazami Jahari (dua dari kiri) ketika merasmikan Program Hari Kesihatan DBP Tahun 2023.

Selain ceramah kesihatan, Program Hari Kesihatan DBP Tahun 2023 juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang menarik seperti senamrobik, jualan buku, derma darah, demonstrasi resusitasi kardiopulmonari (CPR), cabutan bertuah, saringan ujian papilomavirus manusia (HPV), sukan dan permainan, pemeriksaan kesihatan, jualan produk kesihatan dan saringan awal kanser paru-paru.

Ceramah kesihatan “Menangani Tekanan di Tempat Kerja” disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Zaipul Hasni Mat Saleh.
Demonstrasi CPR oleh Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur, Encik Khairuddin Othman (kanan).

Turut serta dalam program berkenaan ialah Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Encik Azhar Mohamad Dora, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Zaipul Hasni Mat Saleh, Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur, Encik Khairuddin Othman, Pengarah-pengarah Jabatan, Pengarah-pengarah Cawangan dan Wilayah, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor, Ketua-ketua Unit, petugas agensi dan organisasi yang terlibat serta karyawan DBP.

Warga DBP menyertai aktiviti senamrobik.
Program Hari Kesihatan DBP Tahun 2023 turut menyediakan perkhidmatan saringan awal kanser paru-paru dan pemeriksaan kesihatan.
Warga DBP berpeluang menderma darah.
Aktiviti sukan dan permainan turut memeriahkan Program Hari Kesihatan DBP Tahun 2023.

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.