Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKajang – Program pendidikan pemakanan sihat yang dikendalikan oleh pelajar tahun empat Program Sains Pemakanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Masjid Sungai Ramal Luar bertujuan menggalakkan warga emas untuk mengamalkan gaya pemakanan yang sihat bagi mengekalkan kesejahteraan hidup.
Program ini dilaksanakan berikutan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2018 mencatat sebanyak 40.6 peratus warga emas di Malaysia mempunyai lebih daripada satu penyakit dan hal ini sangat membimbangkan kerana penyakit tidak berjangkit dalam kalangan warga emas akan menjejaskan kualiti hidup golongan ini.
Peningkatan usia akan menyebabkan pelbagai perubahan dalam sistem fisiologi badan termasuklah penurunan fungsi deria rasa dan bau, mengalami masalah mengunyah dan menelan sesuatu akibat kehilangan gigi serta penurunan kepadatan tulang.
Menerusi program tersebut, peserta yang terdiri daripada 30 orang warga emas itu telah diberikan penerangan tentang kesan penuaan terhadap perubahan fizikal, konsep pinggan sihat Malaysia dan panduan untuk meningkatkan selera makan.
Pada masa yang sama, para peserta berpeluang menyediakan menu makanan sihat berpandukan risalah tentang pemakanan untuk warga emas yang mengandungi resipi lengkap dan sesuai dihidangkan sebagai alternatif snek sihat untuk keluarga.
Maklumat lengkap tentang pemakanan sihat seperti kalori, karbohidrat, protein, lemak dan serat dalam resipi tersebut turut dikongsikan kepada warga emas yang menyertai program ini.
Secara keseluruhannya, program yang dilaksanakan itu telah memberikan peluang kepada para pelajar untuk berkongsikan ilmu pengetahuan tentang pemakanan sihat kepada komuniti sekali gus memberikan pendedahan kepada pelajar tentang skop tugas sebagai seorang Pegawai Sains Pemakanan di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Program pendidikan sepanjang hayat seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang bagi menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang ramai dan membantu warga emas menjalani kehidupan yang sejahtera melalui amalan pemakanan sihat.