Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memulakan gerak kerja penubuhan Pusat Subfertiliti Negara pertama yang bakal ditubuhkan dalam jangka masa lima tahun dari sekarang sebagaimana yang telah diluluskan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Pusat subfertiliti tersebut akan menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga yang komprehensif, termasuklah berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan, teknologi rawatan terkini dan latihan kepakaran di Malaysia.
“Penubuhan Pusat Subfertiliti Negara adalah tepat pada masanya memandangkan sejak lima dekad lalu, kadar kesuburan penduduk di Malaysia telah menurun dengan pesat, iaitu daripada 6.7 orang anak bagi seorang wanita pada tahun 1957 kepada empat orang anak pada tahun 1980, tiga orang anak pada tahun 2000, 2.1 orang anak pada tahun 2010 dan terkini hanya 1.6 orang anak pada tahun 2022, sekali gus menunjukkan kadar terendah yang pernah dicatatkan dalam negara,” kata Menteri Pembangunan, Wanita dan Masyarakat, YBhg. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukry ketika merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23).
PERKKS 23 yang bertemakan “Penduduk dan Keluarga Mampan, Membangun Malaysia MADANI” turut mengadakan sesi khas perbincangan meja bulat bagi menghasilkan resolusi yang mengandungi cadangan dasar dan langkah intervensi untuk menangani isu penurunan kadar kesuburan penduduk negara.
Semua cadangan yang terkandung dalam resolusi tersebut merupakan pelengkap kepada inisiatif intervensi yang sedang dirancang dan digerakkan oleh KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Penganjuran PERKKS 23 pada tahun ini masih meneruskan kerjasama strategik bersama-sama United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia dan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, selain pelibatan Merck Malaysia sebagai rakan kerjasama yang baharu.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yussof, Pengerusi LPPKN, YBhg. Dato’ Sri Rohani Karim, Ketua Pengarah LPPKN, Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Perwakilan Tetap UNFPA Malaysia, YBrs. Dr. Asa Torkelsson, Pengarah Urusan Merck Malaysia, Puan Pixie Yee dan para pegawai kanan kementerian.