19 November 2023, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-2 Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis di Dewan Ilmu UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tan Sri Datuk Sri Sufri Hj. Mhd Zin; Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta pengurusan tertinggi universiti tersebut.

Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bergambar bersama para pensyarah dan siswazah UniMAP.

Dalam titah perutusan baginda yang dipaparkan pada skrin yang disediakan, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor menitahkan bahawa UniMAP telah berjaya menempatkan diri setanding dengan universiti lain di Malaysia pada kedudukan 1001 dalam subjek Kejuruteraan dan kedudukan 600 sehingga 800 bagi subjek Sains Fizikal oleh Times Higher Education World University Rankings 2024.

Raja Puan Muda Perlis,  DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyampaikan sijil kepada siswazah.

Pengiktirafan ini menunjukkan komitmen UniMAP dalam meningkatkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di samping melahirkan siswazah berkualiti selaras dengan keperluan industri.

Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama UniMAP di peringkat negara malah antarabangsa. Tidak hairanlah jika UniMAP akan semakin dikenali dan menarik minat lebih ramai pelajar khususnya berkaitan dengan subjek Kejuruteraan dan Sains Fizikal.

Pada sidang kali ini, sebanyak 481 graduan telah menerima sijil dan mereka terdiri daripada siswazah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) dan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM) UniMAP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.